
MIRI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan kerusi Parlimen Sibuti selepas calonnya Lukanisman Awang Sauni menang dengan 22,150 undi sekali gus meraih majoriti besar 11,745 undi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen P218 Sibuti Siti Rohanie Yusof mengumumkan keputusan itu jam 11.50 malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan Lukanisman mengekalkan portfolionya sebagai Ahli Parlimen buat penggal kedua selepas mengalahkan calon terdekat daripada Pakatan Harapan (PH) Zulhaidah Suboh yang mendapat 10,405 undi.
Seorang lagi calon daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Bobby William yang mencuba nasib di kerusi Parlimen berkenaan memperoleh 1,361 undi.
Pada PRU14, Lukanisman yang mewakili Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Sibuti apabila menang dengan majoriti 3,676 undi.
Kemenangan Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak itu turut diraikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga ADUN Bekenu Datuk Rosey Yunus serta ketua-ketua masyarakat dan penyokong parti.
Sebaik keputusan rasmi diumumkan, penyokong GPS bersorak gembira meraikan kemenangan Lukanisman di dalam dan luar pekarangan Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Masyarakat Bekenu.