
SELANGAU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya merampas kerusi Parlimen Selangau selepas menang dengan majoriti 4,985 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.
Calon GPS Edwin Banta memperoleh 16,078 undi sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Umpang Sabang yang mendapat 11,092 undi dan calon Bebas Henry Joseph Usau hanya meraih 1,626 undi.
Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Selangau Inting Nyami kira-kira jam 11.54 malam tadi di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Serba Guna Selangau dekat sini.
Menurut Inting, undi ditolak sebanyak 428 dan peratusan keluar mengundi ialah sebanyak 64.01 peratus.
Sebanyak 428 kertas undi ditolak manakala jumlah undian sebanyak 28,796 undi.
“Dengan ini, saya mengisytiharkan Edwin Banta daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipilih sebagai Ahli Parlimen Selangau,” katanya.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Selangau dimenangi Baru Bian yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 486 undi selepas menewaskan Rita Insol daripada Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu tidak mempertahankan kerusi tersebut sebaliknya bertanding di kerusi Lawas pada PRU15 ini.