Anda di sini

Gender bukan lagi isu untuk menjadi pemimpin, kata Doris

Advertisement
 

KUCHING: Datuk Seri Doris Sophia Brodie (gambar) berkata kemenangannya di Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan gender bukan lagi isu untuk menjadi pemimpin.

Sebaliknya ujar beliau, keikhlasan, kesanggupan, komitmen dan karisma melayak serta membolehkan seseorang itu menjadi pemimpin.

Ia juga katanya, kesediaan pihak berkuasa mewujudkan peluang untuk wanita terlibat dalam barisan hadapan terutama politik.

“Kepada komuniti Dayak, saya ucapkan syabas! Kita telah mencipta kejayaan, rakyat Sri Aman telah membuktikan gender bukan lagi isu untuk seseorang memimpin tetapi kesanggupan, komitmen dan karisma seseorang,” katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Doris yang juga Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata oleh itu, kaum Dayak mesti mempunyai cara berfikir atau minda baharu, bangkit mengatasi isu gender dan berusaha ke hadapan sebagai satu pasukan untuk kemajuan dan kesejahteraan masyarakat Dayak.

Ujarnya, peluang mesti diberikan berdasarkan merit bukan kuota, pilih kasih atau jantina.

Wanita katanya, mesti dibenarkan ‘beraksi’ di pentas atau permainan sama dengan rakan seperjuangan lelaki ke arah komuniti Dayak yang lebih progresif serta inklusif.

“Kemenangan atau perjuangan ini bukan alasan utama untuk saya mahu bertanding di kerusi P202  Sri Aman sebagai calon GPS (Gabungan Parti Sarawak).

“Saya tidak pernah berfikir mahu mencipta sejarah menjadi wanita Dayak pertama sebagai Ahli Parlimen tetapi (demi) kesejahteraan rakyat Sri Aman,” ujarnya.

“Apa yang saya mahu ialah berkhidmat kepada mereka (rakyat Sri Aman) dan bekerjasama dengan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) GPS untuk membawa lebih banyak pembangunan serta kemajuan ke Sri Aman seiring visi Sarawak 2030,” tambahnya.

Doris berkata berbekalkan pengalamannya selama 36 tahun dalam arena politik sejak 1986, beliau yakin dapat berkhidmat kepada rakyat sebaik mungkin.

Selain wanita Dayak pertama dipilih menjadi Ahli Parlimen, Doris juga merupakan wanita Dayak pertama dilantik sebagai Senator dan Timbalan Speaker Dewan Negara.

Dalam keputusan  PRU15 bagi Parlimen Sri Aman yang diumumkan semalam, Doris menang dengan undi majoriti 4,039 dalam pertarungan empat penjuru melibatkan calon Bebas yang juga penyandang Datuk Masir Kujat, Wilson Entebang (Parti Sarawak Bersatu) dan Tay Wei Wei (Pakatan Harapan).

Advertisement