Anda di sini

DAP Sarawak berjaya pertahan lima daripada lapan kerusi Parlimen

Advertisement
 

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berjaya mempertahankan lima daripada lapan kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Lima kerusi yang dipertahankan itu adalah Bandar Kuching, Stampin, Mas Gading, Sibu dan Lanang manakala tiga lagi kerusi iaitu Serian, Sarikei dan Bintulu masing-masing tewas kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, mempertahankan kerusi Stampin selepas memperoleh 32,152 undi dengan majoriti 7,158 undi menewaskan dua lagi pencabarnya Lo Khere Chiang (GPS) dan Lue Cheng Hing (Parti Sarawak Bersatu). 

Manakala Dr Kelvin Yii mempertahankan kerusi Bandar Kuching selepas memperoleh 45,353 undi dengan majoriti 28,891 undi menewaskan Tay Tze Kok (GPS) dan Voon Lee Shan (Parti Bumi Kenyalang). 

Di Mas Gading pula, Mordi Bimol mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi pada PRU14 selepas memperoleh 17,274 undi dengan majoriti 5,480 undi menewaskan Lidang Disen (GPS) dan Sim Min Leong (Parti Bumi Kenyalang). 

Oscar Ling pula mempertahankan kerusi Sibu selepas memperoleh 31,287 undi dengan majoriti 7,760 undi menewaskan Clarence Ting (GPS) dan Dato Sri Wong Soon Koh (Parti Sarawak Bersatu).  

Manakala di Lanang, Alice Lau mempertahankan kerusi tersebut selepas memperoleh 30,120 undi dengan majoriti 11,544 undi menewaskan Wong Ching Yong (GPS), Priscilla Lau (Parti Sarawak Bersatu) dan Dato Wong Tiing Kiong (Bebas). 

Dalam pada itu Chong dalam ucapan ringkasnya di Ibu Pejabat DAP malam tadi menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua penyokong dan jentera parti atas usaha serta bantuan selama tempoh 14 hari berkempen. 

Berkat usaha dan bantuan ini katanya, menjadikan kemenangan ini satu kejayaan buat DAP dalam PRU15. 

“Kita berjaya mempertahankan Bandar Kuching dan Stampin, begitu juga Mas Gading. Kita gagal sekali lagi di Serian tetapi di Sibu dan Lanang kedua-dua kawasan berjaya kita pertahankan,” katanya. 

Chong dan Dr Yii turut berterima kasih sekali lagi kepada semua yang menyokong mereka dan berharap sokongan ini akan terus kekal bersama mereka dalam usaha membawa pembaharuan kepada negara. 

Advertisement