Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan pasca pilihan raya

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila risiko politik yang berlarutan dijangka menyebabkan para pelabur tidak memasuki pasaran, kata seorang peniaga. 

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata hala tuju jangka pendek FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan banyak bergantung kepada kestabilan landskap politik tempatan. 

"Justeru, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran diniagakan tidak banyak berubah dalam jajaran 1,430-1,460 minggu depan dengan paras ketahanan pada 1,470 dan paras sokongan pada 1,420," katanya kepada Bernama. 

Pengarah urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata mengukur reaksi pasaran pasca pilihan raya sentiasa mencabar. 

"Namun, kami tidak menjangkakan sebarang reaksi menggegarkan seperti yang kita saksikan pasca pilihan raya 2018, oleh itu, sebarang kejutan kecil dijangka dapat dicerna kerana landskap politik tempatan tidak dijangka banyak berubah daripada yang ada sekarang,” kata Innes. 

Menurutnya, buat masa ini, para pelabur tidak begitu mengambil kira dengan pendekatan menaikkan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), yang sepatutnya menyokong Bursa Malaysia.

Pada Khamis, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.94 mata atau 0.07 peratus, untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya pada 1,449.32 daripada paras penutup 1,448.38 pada Rabu.

Berbanding minggu sebelumnya, indeks utama turun 18.89 mata daripada 1,468.21 sebelumnya. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 130.81 mata kepada 10,398.77, Indeks FBMT 100 turun 140.78 mata kepada 10,010.81 dan FBM 70 jatuh 212.52 mata kepada 12,159.50. 

FBM ACE turun 178.39 mata kepada 4,914.92 dan Indeks FBM Emas susut 137.66 mata kepada 10,279.24.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.80 mata kepada 178.60, Indeks Perladangan susut sebanyak 22.50 mata kepada 6,880.23 dan Indeks Tenaga turun 0.99 mata kepada 723.33.

Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 177.43 mata kepada 16,175.80. 

Semasa minggu dagangan yang singkat ini, jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 10.53 bilion unit bernilai RM6.81 bilion daripada 15.83 bilion unit bernilai RM8.83 bilion pada minggu sebelumnya. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 7.15 bilion saham bernilai  RM5.93 bilion daripada 10.75 bilion saham bernilai RM7.62 bilion.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.57 bilion unit bernilai RM289.54 juta daripada 1.67 bilion unit bernilai RM358.37 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 1.80 bilion saham bernilai RM585.13 juta daripada 3.38 bilion saham bernilai RM840.71 juta. - BERNAMA

Advertisement