Anda di sini

Agong titah parti-parti politik kemuka gabungan dipersetujui, calon PM sebelum 2 petang esok

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima maklum bahawa pada PRU15 semalam, tiada gabungan parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen.

Sehubungan itu, Istana Negara telah memohon kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk meminta semua ketua parti dan gabungan parti politik terlibat mengemukakan cadangan gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui dan calon perdana menteri mereka kepada Istana Negara.

“Selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1.15 tengah hari tadi, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang mengemukakan dokumen keputusan rasmi PRU15 di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik untuk akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara.

"Negara ini umpama harta pusaka, para pemimpin adalah pemegang amanahnya. 

"Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara,” titah Seri Paduka.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan rakyat untuk mendoakan semoga Malaysia dirahmati, diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

PRU15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi. - Bernama 

Advertisement