Anda di sini

Pendigitalan jadi pemangkin utama bantu pemulihan PMKS APEC

Advertisement
 

BANGKOK: Pendigitalan menjadi pemangkin utama dalam memudahkan pemulihan dan pertumbuhan mampan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki, yang berada di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) tahun ini sebagai Wakil Khas Perdana Menteri berkata, pendigitalan itu sendiri tanpa pemboleh yang patut diberi perhatian, seperti keterangkuman, mungkin tidak mencukupi dalam menyediakan daya tarikan yang diperlukan untuk PMKS berkembang, matang dan meningkatkan rantaian nilai.

“Pada peringkat awal, kita perlu memajukan literasi digital dan keupayaan PMKS kita.

“Bagi tujuan itu, kerajaan perlu bekerjasama dengan wakil sektor swasta seperti daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) untuk mengenal pasti jurang dalam kemahiran digital PMKS kita dan berusaha ke arah penyelesaian pragmatik yang sesuai bagi menangani kekurangan ini,” katanya dalam nota intervensi pada Dialog ABAC dengan Pemimpin Ekonomi APEC di sini semalam.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mempengerusikan Dialog ABAC dengan Pemimpin Ekonomi APEC di Queen Sirikit National Convention Centre di Bangkok.

Mohd Zuki berkata ekonomi APEC perlu terus melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam sektor PMKS.

"Langkah-langkah ini akan membolehkan pekerja dalam sektor sedemikian melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang betul dan pengetahuan teknikal serta memudahkan lagi penyepaduan mereka ke dalam ruang yang semakin digital untuk firma dan perniagaan yang lebih kecil," katanya.

Sementara itu, Mohd Zuki turut berkongsi inisiatif Malaysia yang melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia untuk meletakkannya sebagai pemain global yang berdaya saing dalam bidang produk dan penyelesaian digital.

“Sambungan Internet yang kukuh dan boleh dipercayai pada kadar kos efektif, sebagai contoh, akan menjadi prasyarat penting bagi PMKS yang ingin memulakan perjalanan pendigitalan mereka. Menyedari hakikat ini, Malaysia terus melabur dengan banyak dalam liputan 4G dan 5G di seluruh negara. Pada masa ini, kami berada di landasan yang betul untuk mencapai anggaran 96.9 peratus liputan 4G dan 36 peratus liputan 5G menjelang akhir tahun ini.

“Malaysia mendapat galakkan yang tinggi melalui usaha-usaha ABAC dalam mempercepatkan pendigitalan dan meningkatkan keterangkuman, termasuk melalui pengesyoran dasar, pelaksanaan program sokongan pembinaan kapasiti, dan pendemokrasian sumber perniagaan.

“Mari kita terus memperkukuh hubungan dan memajukan kerja pendigitalan serta keterangkuman, untuk kemakmuran semua rakyat kita dan generasi akan datang, seperti yang digariskan oleh APEC dalam Wawasan Putrajaya 2040,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata elemen pendigitalan adalah “pusat kerja” untuk ekonomi APEC ke arah mencapai pemulihan ekonomi yang mampan dan pertumbuhan inklusif.

Dalam nota intervensi beliau pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC Bersama Tetamu hari ini, beliau berkata satu kelebihan daripada pendemik ialah penggunaan alat digital yang dipercepatkan, kemahiran dan teknologi, khususnya oleh PMKS, pekerja dalam ekonomi tidak formal serta kumpulan lain yang mempunyai potensi ekonomi yang belum diterokai.

Berdasarkan ini katanya, kini adalah penting untuk menyatukan, mengekalkan dan menambah set kemahiran yang diperoleh oleh segmen masyarakat ini.

“Adalah juga penting bagi APEC untuk melaksanakan dengan segera mengenai inisiatif Masa Depan Kerja, untuk melindungi kesejahteraan ekonomi rakyat kita dalam dunia yang semakin digital,” katanya.

Mohd Zuki berkata tanggungjawab kini terletak pada kerajaan untuk melaksanakan dasar dan program berkualiti tinggi yang menggalakkan akses yang adil dan saksama kepada pemboleh digital, infrastruktur dan pasaran, sambil mereka berusaha untuk menyamakan kedudukan dan meningkatkan taraf kehidupan orang ramai. - BERNAMA 
 

Advertisement