Anda di sini

Untung bersih suku ketiga Gas Malaysia melonjak 53.4 peratus kepada RM95.66 juta

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Gas Malaysia Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 meningkat kepada RM95.66 juta berbanding RM62.36 juta pada suku ketiga 2021 disebabkan oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi, pendapatan kewangan dan sumbangan daripada syarikat usaha sama serta kos kewangan yang lebih rendah.

Hasil melonjak kepada RM1.86 bilion daripada RM1.38 bilion sebelum ini, selaras dengan purata harga jualan gas asli yang lebih tinggi walaupun jumlah jualan gas asli yang lebih rendah pada suku tersebut.

Secara keseluruhannya, kumpulan itu menjangka ia mampu mencapai prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan 2022 seiring dengan peningkatan ekonomi bagi baki tahun kewangan.

Ekonomi Malaysia dijangka terus pulih pada suku keempat apabila aktiviti ekonomi terus pulih dengan pelonggaran langkah sekatan pergerakan.

“Kumpulan akan terus mengambil langkah berhemat bagi mengekalkan kecekapan operasinya agar kekal berdaya saing dan mencari peluang untuk mengembangkan perniagaannya," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam. - BERNAMA
 

Advertisement