Anda di sini

Tentera Myanmar serang lombong KNU, warga China dipercayai antara tiga maut

Advertisement
 

YANGON: Sekumpulan pemberontak Myanmar membuat kenyataan kelmarin bahawa ia sedang menyiasat sama ada warga China adalah antara mereka yang terbunuh dan cedera dalam serangan udara tentera ke atas sebuah lombong miliknya.

Rampasan kuasa sejak tahun lalu di negara Asia Tenggara  itu telah mencetuskan pertempuran baharu antara tentera dan beberapa kumpulan bersenjata etnik Myanmar.

Pada Selasa, tentera bertempur dengan pejuang dari Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) berhampiran sempadan Thailand, kata kedua-dua pihak.

Tentera kemudiannya melakukan serangan udara ke atas lombong antimoni Thabyu yang dikendalikan oleh KNU, membunuh tiga orang, mencederakan empat dan menyebabkan sekurang-kurangnya lapan mangsa hilang, kata seorang komander KNU.

Penduduk tempatan berkata seorang daripada mangsa yang maut merupakan warga China sementara seorang lagi tercedera, lapor media.

Komander KNU berkata kira-kira 200 warga China terlibat dalam operasi di lombong Thabyu dan kumpulan itu “masih menyiasat” sekiranya ada antara mereka yang maut atau hilang.

Kebanyakan kawasan di sepanjang sempadan timur Myanmar, yang tanpa undang-undang dibanjiri de-ngan pelaburan China, termasuk kasino, lombong dan pembalakan.

Junta menyatakan bahawa ia telah menjalankan “operasi” ke atas lombong itu, tanpa menjelaskan butiran lanjut.

Ia turut berkata bahawa KNU menjalankan “tindakan subversif” dengan mengendalikan lombong itu secara “haram”.

“Kami melihat berita bahawa ada beberapa warga asing terbunuh,” kata jurucakap junta Zaw Min Tun ketika menjawab soalan mengenai serangan ke atas lombong itu.

“Jika ya, mereka hanyalah pendatang haram yang bekerja secara haram.”

China adalah salah satu daripada beberapa sekutu antarabangsa tentera Myanmar dan enggan menggelar rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi sebagai rampasan kuasa. — AFP 

Advertisement