Anda di sini

Seorang lelaki maut dalam kemalangan babitkan tiga treler, dua kenderaan di Slim River

Advertisement
 

IPOH: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk tiga treler di KM382.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, berhampiran Slim River, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat perkak negeri berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1 pagi tadi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dikerahkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan tiga treler muatan besi, sebuah Nissan X-trail dan Proton Iris. Seorang lelaki berumur 44 tahun telah tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang turut dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mangsa yang tersepit telah dikeluarkan dengan peralatan khas dan penggunaan dua kren. Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini, tiada maklumat lanjut berkaitan mangsa yang maut itu dan mayat dibawa ke hospital berhampiran untuk bedah siasat.

Menurut Twitter PLUS, kemalangan itu menyebabkan kesesakan sejauh empat kilometer berikutan kesemua lorong terhalang dan kerja-kerja pengalihan kenderaan terlibat kemalangan sedang dilakukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata siasatan mendapati kemalangan melibatkan empat treler, dua kereta dan sebuah ambulans apabila pemandu treler yang dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan lalu menyebabkan kemalangan berantai.

Beliau berkata pemandu treler itu dikenali sebagai Mohd Khairuddin Md Taharim, 44, dan beralamat di Bukit Beruntung, Selangor maut dalam kemalangan tersebut.

Mohd Hasni berkata treler itu telah melintangi dan menutupi lorong kiri serta bahu jalan manakala sebuah lagi treler dalam keadaan melintang ke kanan jalan menutupi lorong tengah dan kanan laluan lebuh raya itu.

"Laluan telah dibuka satu lorong dan satu lagi laluan kontra telah dibuka pada pukul 7.37 pagi dan semua treler yang terlibat kemalangan sudah dialih ke tepi jalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA
 

Advertisement