Anda di sini

Lebih banyak insentif untuk penjaja, peniaga kecil: PM Ismail Sabri

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2022 hari ini berkata kerajaan akan menyediakan lebih banyak insentif untuk penjaja dan peniaga kecil di Malaysia.

“Terima kasih kerana membantu memperkasakan ekonomi negara. Insya-Allah lebih banyak insentif yang bakal saya laksanakan untuk penjaja dan peniaga kecil di Malaysia,” katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya hari ini.

Mengucapkan Selamat Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2022 kepada semua penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara, Ismail Sabri dalam catatan itu berkongsi kisah bahawa beliau juga pernah menjadi penjaja dan oleh itu, peka dengan keperluan golongan tersebut.

“Kerajaan sentiasa berusaha mengangkat dan mengetengahkan peranan komuniti penjaja dan peniaga kecil untuk sama-sama memacu kemakmuran negara,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, pelbagai kemudahan disediakan kerajaan termasuk pengurangan 50 peratus sewaan premis, pengecualian sewaan tapak berniaga serta pengecualian fi lesen penjaja dan peniaga kecil sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan. 

Program Pendigitalan Penjaja dan Peniaga Kecil Warongku membantu golongan penjaja untuk mendigitalkan perniagaan mereka, selain inisiatif program pembiayaan mikro tanpa faedah berjumlah RM50,000 secara dalam talian bertujuan membantu penjaja dan peniaga kecil, katanya. - BERNAMA
 

Advertisement