Anda di sini

Dr Annuar seru semua wakil rakyat di kawasan tengah bantu tambah baik kemudahan Hospital Sibu

Advertisement
 (Dari kiri) Chieng, Dr Annuar dan Tiang menandatangan sebagai simbolik perasmian ruang menunggu pesakit luar di Hospital Sibu.
RASMI: (Dari kiri) Chieng, Dr Annuar dan Tiang menandatangan sebagai simbolik perasmian ruang menunggu pesakit luar di Hospital Sibu.

SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee menyeru semua wakil rakyat di kawasan tengah sama-sama memberikan sedikit sumbangan bagi menambah baik kemudahan di Hospital Sibu.

Menurut Dr Annuar, terdapat lebih 10 wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan tengah yang diharap dapat memberikan sumbangan, selain beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Bukit Assek dan Dudong.
   
"Keempat-empat kita menyumbangkan sebanyak RM50,000 seorang setahun dan ini menjadikan jumlah yang disumbangkan kepada Hospital Sibu tahun ini sebanyak RM200,000.

"Tahun depan kita berjanji menyumbangkan RM100,000 setiap seorang dan ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada RM400,000," ujarnya pada sidang media di Hospital Sibu, hari ini.

Terdahulu, Dr Annuar bersama ADUN Pelawan Michael Tiang dan ADUN Bukit Assek Joseph Chieng melawat ruang menunggu untuk pesakit luar yang mendapatkan rawatan di klinik pakar Hospital Sibu serta kerja-kerja ubah suai di Wad Neurosurgeri Lelaki.

ADUN Nangka itu yakin kesemua wakil rakyat GPS di kawasan tengah akan memberikan sumbangan masing-masing kepada Hospital Sibu memandangkan hospital tersebut turut memberikan perkhidmatan kepada semua penduduk di kawasan tengah.

"Mereka mungkin boleh memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 setahun berbanding jumlah yang kita berikan. Ini akan menjadikan sumbangan kepada hospital bertambah sebanyak RM200,000 setahun," jelasnya.

Di samping itu katanya, mereka juga telah diberikan senarai peralatan yang perlu diganti atau dibeli yang memerlukan peruntukan lebih kurang RM5 juta bagi menambah baik kemudahan di hospital terbabit.

Dr Annuar memberitahu, dana daripada wakil rakyat tersebut akan disalurkan kepada Lembaga Pelawat Hospital Sibu yang diketuai oleh Kevin Lau, memandangkan pihak lembaga lebih tahu apa yang diperlukan oleh hospital terbabit.

"Lembaga Pelawat Hospital Sibu adalah organisasi terbaik yang boleh merancang apa yang perlu serta berguna kepada pesakit di hospital ini. Pada masa sama, kita juga bekerjasama dengan pihak hospital dan melihat mana yang perlu diberi keutamaan," jelasnya.

Sementara itu, menurut Lau, projek di Wad Neurosurgeri Lelaki melibatkan kerja-kerja pemasangan tingkap kekal, memperbaiki sistem elektrik dan pemasangan tujuh unit penyaman udara.

Bajet awal pojek katanya, adalah sebanyak RM85,000 namun dapat disiapkan dengan kos di bawah RM80,000.

Bagi projek memperbesarkan ruang menunggu pesakit luar, beliau berkata projek telah dijayakan dengan kerjasama Yayasan Farley dengan bajet awal sebanyak RM90,000.

Projek yang berjaya disiapkan dalam masa sebulan itu katanya, disiapkan dengan kos sebanyak RM73,000, yang akan memberi keselesaan kepada pesakit luar yang menunggu untuk mendapatkan rawatan di klinik pakar Hospital Sibu.
 

  • oleh
  • Advertisement