Anda di sini

Dr Annuar pertimbang untuk tubuhkan kemudahan angiogram di Hospital Sibu

Advertisement
 

SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee mempertimbang untuk menubuhkan kemudahan angiogram di Hospital Sibu bagi meluaskan skop perkhidmatan di hospital terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hospital Sibu berkata, ini akan mengukuhkan lagi perkhidmatan hospital kerana pesakit tidak perlu pergi ke Kuching untuk perkhidmatan tersebut pada masa hadapan.

"Dengan kemudahan angiogram, doktor boleh memeriksa sama ada terdapat penyumbatan pada saluran darah dan otak. Ini adalah antara perancangan masa depan kita untuk memperkasakan lagi perkhidmatan Hospital Sibu.

"Saya akan bekerjasama dengan Timbalan Premier Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang untuk memastikan rancangan itu menjadi kenyataan untuk rakyat Sibu," ujarnya pada sidang media di Hospital Sibu, hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Michael Tiang, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sibu Kevin Lau, Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng dan Presiden Yayasan Farley Eijing Lau.

Sementara menurut Tiang, Hospital Sibu tidak hanya memberikan perkhidmatan kepada penduduk Sibu tetapi juga kepada semua penduduk di kawasan tengah Sarawak.

Oleh itu, beliau menyeru semua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan tengah turut memberikan sedikit sumbangan tahunan kepada Hospital Sibu sebagaimana yang dilakukan keempat-empat wakil rakyat GPS di Sibu. 

"Memandangkan Hospital Sibu turut memberi perkhidmatan kepada penduduk di seluruh kawasan tengah, kita merayu kepada wakil rakyat GPS di kawasan tengah agar turut memberikan sumbangan bagi membantu pihak hospital lebih memberikan perkhidmatan yang lebih baik," ujarnya.

Bagi Chieng pula, empat ADUN GPS bagi kawasan Nangka, Dudong, Pelawan dan Bukit Assek berjanji memberikan sumbangan tahunan sebanyak RM50,000 seorang yang disalurkan kepada Lembaga Pelawat Hospital Sibu.

"Apa yang penting kita harus menyediakan persekitaran yang lebih baik kepada pesakit yang datang ke Hospital Sibu. Tujuan kita hanya untuk memperbaiki kemudahan dan keadaan di hospital ini untuk faedah rakyat," ujarnya.

Pada tahun depan katanya, keempat-empat mereka akan memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 seorang kepada pihak lembaga untuk menambah baik kemudahan di Hospital Sibu.

  • oleh
  • Advertisement