Anda di sini

Perdagangan Malaysia berkembang 21.1 peratus kepada RM245.18 bilion pada Oktober 2022

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 21.1 peratus kepada RM245.18 bilion bagi Oktober 2022 berbanding dengan angka pada Oktober 2021, sekali gus menandakan pertumbuhan dua digit yang ke-21 bulan berturut-turut, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Eksport meningkat 15 peratus kepada RM131.63 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-15 bulan berturut-turut manakala import naik 29.2 peratus kepada RM113.54 bilion.

Sementara itu, lebihan dagangan berkurangan sebanyak 32 peratus kepada RM18.09 bilion.

“Pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG) serta petroleum mentah.

“Eksport LNG mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini. Sementara itu, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

MITI menjelaskan bagi tempoh 10 bulan pertama 2022, perdagangan, eksport dan import telah melepasi nilai yang direkodkan pada keseluruhan 2021.

Perdagangan meningkat sebanyak 31.6 peratus kepada RM2.375 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2021 dan eksport naik 28.5 peratus kepada RM1.29 trilion, tambahnya.

MITI menambah import melepasi aras RM1 trilion buat pertama kali, melonjak 35.4 peratus kepada RM1.085 trilion dan lebihan dagangan naik 1.3 peratus kepada RM205.61 bilion.

Dari segi prestasi eksport mengikut sektor, eksport barangan perkilangan pada Oktober 2022 yang merangkumi 84.5 peratus daripada jumlah eksport meningkat 12.6 peratus tahun ke tahun kepada RM111.18 bilion.

Menurut kementerian itu, keluaran petroleum dan barangan E&E masing-masing telah merekodkan kenaikan eksport melebihi RM1 bilion.

“Eksport hasil galian melonjak 85.9 peratus tahun ke tahun kepada RM11.22 bilion, nilai bulanan tertinggi setakat ini dan merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-19 bulan berturut-turut. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport LNG dan petroleum mentah,” jelas kementerian itu.

Eksport keluaran pertanian menguncup 7.0 peratus kepada RM8.6 bilion berbanding Oktober 2021 disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli, tambahnya.

Pada tempoh Januari hingga Oktober 2022, hampir kesemua barangan telah merekodkan peningkatan eksport.

“Eksport barangan perkilangan melebihi nilai yang direkodkan pada keseluruhan tahun 2021, naik 25.3 peratus kepada RM1.087 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia,” menurutnya.

MITI menjelaskan eksport keluaran pertanian bertambah 31.1 peratus kepada RM101.01 bilion, melebihi nilai yang direkodkan pada keseluruhan tahun lepas dengan dipacu oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Menurut MITI, mengenai prestasi perdagangan dengan pasaran utama, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 25.8 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia pada Oktober 2022, berkembang sebanyak 20.5 peratus tahun ke tahun kepada RM63.35 bilion.

Eksport menokok 25.3 peratus kepada RM38.79 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-15 bulan berturut-turut, dan ini disokong oleh kenaikan eksport keluaran petroleum dan barangan E&E.

Sementara itu import dari ASEAN bertambah 13.6 peratus kepada RM24.56 bilion, tambahnya.

Pada Oktober 2022, perdagangan dengan China yang mewakili 16.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia bertambah 13.1 peratus tahun ke tahun kepada RM41.54 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-23 bulan berturut-turut, jelasnya.

“Eksport ke China merekodkan peningkatan 4.3 peratus kepada RM18.42 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Import dari China berkembang 21.2 peratus kepada RM23.13 bilion.

Kementerian itu menambah, perdagangan dengan AS pada Oktober 2022 yang merangkumi 9.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 20.3 peratus tahun ke tahun kepada RM23.98 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-14 bulan berturut-turut.

“Eksport berkembang 8.8 peratus kepada RM13.73 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Import dari AS naik sebanyak 40.4 peratus kepada RM10.24 bilion,” menurutnya.

Perdagangan dengan EU yang merangkumi 7.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Oktober 2022 berkembang 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM17.41 bilion.

“Eksport naik 7.o peratus kepada RM9.7 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan besi dan keluli, keluaran petroleum dan barangan perkilangan logam. Import dari EU bertambah sebanyak 11.1 peratus kepada RM7.71 bilion,” jelasnya.

Sementara itu perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 6.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 21.8 peratus tahun ke tahun kepada RM15.92 bilion.

“Eksport berkembang 25.7 peratus kepada RM8.57 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-20 bulan berturut-turut dengan disokong oleh kenaikan eksport LNG, petroleum mentah dan barangan E&E manakala import dari Jepun meningkat 17.6 peratus kepada RM7.35 bilion,” menurut MITI.

Perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pula merangkumi 64.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM158.05 bilion.

“Eksport ke rakan dagang FTA naik 17.7 peratus kepada RM89.16 bilion dan import berkembang 18.8 peratus kepada RM68.89 bilion,” tambahnya.

MITI menjelaskan dari segi prestasi, jumlah import pada Oktober 2022 berkembang 29.2 peratus tahun ke tahun kepada RM113.54 bilion.

“Pada tempoh Januari hingga Oktober 2022, import menokok 35.4 peratus kepada RM1.085 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2021.

“Import barangan pengantara bertambah 34.5 peratus kepada RM591.58 bilion, barangan modal meningkat 19.6 peratus kepada RM100.63 bilion serta barangan penggunaan menokok 25 peratus kepada RM85.28 bilion,” jelas kementerian itu. - BERNAMA
 

Advertisement