Anda di sini

Nadal komited kembalikan kegemilangannya

Advertisement
Nadal (kiri) berjabat tangan dengan Felix Auger-Aliassime selepas tamat pertembungan di antara mereka berdua pada Kejohanan ATP Final di Turin. — Gambar AFP
Nadal (kiri) berjabat tangan dengan Felix Auger-Aliassime selepas tamat pertembungan di antara mereka berdua pada Kejohanan ATP Final di Turin. — Gambar AFP

TURIN: Rafael Nadal berkata dia ‘akan bermati-matian’ untuk cuba kembali ke tahap permainan yang menyaksikannya memenangi satu rekod 22 kejuaraan perseorangan Grand Slam selepas impiannya memburu kejuaraan pertama pada kejohanan akhir musim, Final ATP dan menjadi pemain nombor satu dunia berakhir pada Selasa.

Pemain berusia 36 tahun dari Sepanyol itu tewas 6-3 dan 6-4 kepada Felix Auger-Aliassime dari Kanada, kekalahan kedua berturut-turut selepas kalah kepada Taylor Fritz pada Ahad.

Untuk mengekalkan peluang melangkah ke final, Nadal mengharapkan Fritz menewaskan Casper Ruud dalam dua set tetapi apabila Rudd menang set pertama menentang Fritz, ia bermakna Nadal hampir pasti tersingkir sebelum Rudd akhirnya menang dalam tiga set.

Ini juga bermakna rakan senegaranya yang juga juara Terbuka Amerika (AS), Carlos Alcaraz, akan menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia.

Nadal perlu memenangi kejohanan akhir musim ini buat kali pertama dalam kariernya untuk menghalang Alcaraz menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu.

“Maksud saya ialah saya tidak fikir saya lupa bagaimana untuk bermain, bagaimana kuatnya saya dari segi mental,” kata Nadal, yang bermain perlawanan perseorangan ketiganya sejak Terbuka AS pada bulan September.

“Dan saya tidak tahu jika saya akan sampai ke tahap itu sekali lagi tetapi apa yang saya tidak ragui ialah saya akan bermati-matian melakukannya.”

Nadal – yang memenangi Terbuka Australia dan Terbuka Perancis tahun ini, memuji Alcaraz, 19, yang tidak bermain pada kejohanan akhir musim ini kerana kecederaan otot perut.

“Tahniah buat Carlos,” kata Nadal.

“Gembira dengannya. Ini satu pencapaian besar untuk dia. Tahniah. Berita baik untuk sukan kita di Sepanyol. Dia selayaknya selepas satu musim yang hebat.”

Aksi hambar Nadal jelas kelihatan ketika menentang Auger-Aliassime, yang memenangi tiga kejuaraan pada bulan Oktober dengan aksi memberangsangkan.

“Ia hebat untuk menewaskannya dan terus bersaing dalam kejohanan ini,” kata Auger-Aliassime.

“Saya bermain dengan hebat sejak bulan yang lalu dan kemudian untuk menewaskan seorang pemain seperti Nadal adalah sesuatu yang sangat istimewa.”

Jaguh dari Kanada itu mengekalkan rentak yang sama pada set kedua dan walaupun Nadal cuba bangkit, permainannya tidak konsisten dan memberikan ruang kepada Auger-Aliassime untuk mengawal permainan sehingga ke akhirnya.

Ruud menewaskan Taylor Fritz 6-3, 4-6 dan 7-6(8/6) untuk menghidupkan peluangnya ke separuh akhir dalam aksi Kumpulan Hijau. — AFP
 

Advertisement