Anda di sini

‘Dikhianati’ kelab, Man United akan ‘menimbangkan respons’ berkaitan temu bual Ronaldo

Advertisement
 

MANCHESTER: Manchester United berkata pada Isnin bahawa mereka akan ‘menimbangkan respons’ mereka kepada satu temu bual dari penyerang bintang kelab, Cristiano Ronaldo di mana dia berkata dia berasa ‘dikhianati’ oleh kelab.

Pemenang lima anugerah Ballon d’Or itu menjadi kurang perhatian dalam padang bersama United sejak Erik ten Gah menjadi pengurus kelab pada bulan Mei.

Ronaldo didenda selepas enggan masuk sebagai pemain gantian ketika United menewaskan Tottenham Hotspur bulan lepas tetapi sudah kembali ke dalam skuad dalam beberapa minggu yang lalu dan malah menjadi kapten pasukan ketika United tewas 1-3 kepada Aston Villa.

Bagaimanapun, pemain berusia 37 tahun itu tidak berada dalam skuad perlawanan ketika menewaskan Fulham 2-1 pada perlawanan terakhir United sebelum rehat enam minggu untuk temasya Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Saya tidak mempunyai rasa hormat kepadanya kerana dia tidak menunjukkan rasa hormat kepada saya,” kata Ronaldo ketika merujuk Ten Hag dalam satu temu bual untuk rancangan Piers Morgan Uncensored TV pada Ahad.

“Bukan hanya jurulatih tetapi dua atau tiga  orang dalam kelab. Saya berasa dikhianati.”

Apabila ditanya sekali lagi jika para eksekutif kelab cuba menyingkirkannya, Ronaldo berkata: “Ya, saya berasa dikhianati dan saya merasakan seperti ada orang tidak mahu saya di sini, bukan hanya tahun ini tetapi tahun lepas juga.”

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Isnin, kelab Old Trafford berkata: “Manchester United menyedari liputan media berkaitan satu temu bual oleh Cristiano Ronaldo.

“Kelab akan menimbangkan respons mereka selepas fakta penuh diketahui.

“Fokus kami masih untuk persediaan pada separuh kedua musim dan mengekalkan rentak, kepercayaan dan perpaduan dibina di kalangan pemain, pengurus, kakitangan dan penyokong.”

Ronaldo kembali ke United pada Ogos 2021 dari kelab Juventus.

Penggal pertamanya di Old Trafford adalah tempoh gemilang di bawah kendalian Alex Ferguson di mana dia memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan anugerah sulung Ballon d’Or.

Walaupun menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan musim lepas, United mengharungi kempen buruk di mana mereka menamatkan liga di tangga keenam dan gagal layak ke kejohanan Liga Juara-Juara.

Ronaldo kemudian dilaporkan merancang perpindahan keluar dari kelab sebelum bermula musim ini tetapi tiada persetujuan boleh dicapai dengan kelab lain.

“Sejak Sir Alex pergi, saya tidak melihat perkembangan di kelab. Tiada apa yang berubah,” kata Ronaldo mengenai apa yang dia ketahui ketika kembali ke United. “Saya mahu yang terbaik untuk kelab. Kerana itu kenapa saya datang ke Manchester United.

“Tetapi anda mempunyai sesuatu di dalam kelab yang tidak membantu kami untuk sampai ke tahap seperti Manchester City, Liverpool dan malah sekarang Arsenal. Sebuah  kelab dengan dimensi ini seharusnya berada di tiga tangga teratas dan malangnya tidak ketika ini.”

United berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris ketika ini, 11 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal. — AFP

Advertisement