Anda di sini

Serie A Itali: Gol sendiri Fiorentina beri AC Milan kemenangan 2-1 

Advertisement
Peneyerang AC Milan Olivier Giroud (tengah) berasak dengan pemain pertahanan Fiorentina Igor Julio (kiri) dan pemain tengah Fiorentina Riccardo Saponara pada perlawanan Serie A Itali di antara AC Milan dan Fiorentina di stadium San Siro di Milan, kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: AC Milan mengekalkan harapan mempertahankan kejuaraan Serie A Itali selepas gol sendiri minit kecederaan Nikola Milenkovic memberikan mereka kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina.

Skuad kendalian Stefano Pioli membayangkan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Napoli menjelang rehat untuk Piala Dunia 2022 selepas Antonin Barak mengikat kedudukan dari gol pembukaan Milan yang dijaringkan Rafael Leao.

Tetapi ketika masa semakin singkat, pemain pertahanan Fiorentina, Milenkovic tertolak bola ke pintu golnya sendiri selepas penjaga gol Pietro Terracciano berlanggar dengan Ante Rebic ketika cuba  menumbuk bola keluar.

Fiorentina kehairanan kerana gol itu disahkan ketika penonton tuan rumah bersorak kegembiraan dengan kemenangan yang membolehkan mereka kini kurang lapan mata di  belakang Napoli.

Milan mengekalkan kedudukan di tangga kedua selepas Lazio tewas 0-3 kepada Juventus, yang turut memintas lawan mereka untuk naik ke tangga ketiga liga.

Di San Siro, tiga mata penuh hadir selepas saingan sengit di mana Fiorentina mempunyai peluang awal untuk menambah jaringan menerusi cubaan Cristiano Biraghi dan Jonathan sebelum Milan menjaringkan gol kemenangan.

Milan juga terselamat dua rayuan penalti dalam kedua-dua babak apabila Pierre Kalulu dan kemudian Fikayo Tomori dikatakan melakukan bentesan keras ke atas Biraghi dan Ikone.

Dan penyokong tuan rumah memikirkan pasukan mereka terlepas peluang meraih tiga mata apabila cubaan Leao terkena palang ketika berbaki 12 minit permainan.

Inter Milan kurang tiga mata di belakang di tangga kelima selepas Edin Dzeko menjaringkan dua gol untuk kemenangan 3-2 ke atas Atalanta, yang membuka jaringan menerusi penalti Ademola Lookman.

Jose Luis Palomino tertolak bola ke pintu gol sendiri untuk memberikan Inter pendahuluan 3-1.

Palomino menebus kesilapannya dengan gol kedua Atalanta ketika berbaki 13 minit permainan tetapi Inter berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat.

Skuad kendalian Simoen Inzaghi itu kini kurang 11 mata di belakang Napoli.

Atalanta kekal di tangga keenam selepas kekalahan ketiga berturut-turut.

Pada perlawanan lain, Paulo Dybala hampir membuat impak segera pada penampilan pertamanya bersama AS Roma sejak lebih dari sebulan, membantu pasukannya seri 1-1 dengan Torino.

Roma mula menyerlah selepas Dybala dimasukkan ketika berbaki 20 minit permainan di Stadio Olimpico dengan Roma ketinggalan menerusi gol Karol Linetty pada minit ke-55.

Dybala, 28, memperolehi satu tendangan penalti pada minit kecederaan, namun Andrea Belotti melihat tendangannya terkena palang.

Namun tidak lama selepas itu, Nemanja Matic mengikat kedudukan selepas rembatan lencong Dybala terkena palang gol.

“Belotti merasakan dia mampu menyempurnakan penalti, jadi saya memberikannya peluang.” Kata Dybala, yang mengalami kecederaan ketika mengambil penalti sebelum ini.

“Dia seorang penyerang yang menjaringkan banyak gol dan sesiapa pun boleh gagal menyempurnakan penalti.”

Keputusan seri itu bermakna Roma kekal di tangga ketujuh, tiga mata di belakang Lazio dan Inter yang berkongsi 40 mata tetapi Lazio di tangga keempat liga, slot terakhir kelayakan ke LigaJuara-Juara.

Penjaga gol antarabangsa Poland, Bartlomiej Dragowski disahkan tidak akan beraksi di Piala Dunia 2022 selepas mengalami kecederaan buku lali ketika kelabnya, Spezia menewaskan Verona 2-1. — AFP
 

Advertisement