Anda di sini

PSG membelasah Auxerre 5-0 dalam aksi Ligue 1 Perancis 

Advertisement
Mbappe (kanan) bersaing mendapatkan bola dengan pemain tengah Auxerre Rayan Raveloson pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Paris Saint-Germain dan Auxerre di stadium Parc des Princes di Paris, kelmarin. — Gambar AFP
Mbappe (kanan) bersaing mendapatkan bola dengan pemain tengah Auxerre Rayan Raveloson pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Paris Saint-Germain dan Auxerre di stadium Parc des Princes di Paris, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Kylian Mbappe menjaringkan gol dan menamatkan permainan tanpa masalah bersama-sama dengan rakan penyerang Lionel Messi dan Neymar pada perlawanan terakhir mereka sebelum Piala Dunia 2022 ketika Paris Saint Germain (PSG) membelasah Auxerre 5-0 dalam aksi Ligue 1 Perancis pada Ahad.

Jurulatih PSG, Christophe Galtier memilih untuk tidak merehatkan ketiga-tiga penyerang itu ketika PSG mahu menjarakkan kedudukan di singgahsana liga sebelum rehat selama sebulan untuk temasya Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Tiada pemain saya memberikan isyarat gentar,” kata Galtier.

“Apa yang saya mahukan ialah pasukan saya meluahkan diri mereka sebebas yang mereka mampu tanpa memikirkan tentang satu kecederaan.

“Pemain memberi respons yang baik, serius dalam padang dan memberi fokus sepenuhnya.

“Ia pastinya amat menyedihkan saya jika salah seorang pemain saya cedera sebelum Piala Dunia dan saya dengan pantas melakukan pertukaran untuk merehatkan mereka dalam separuh masa kedua.”

Mbappe membuka jaringan seawal minit ke-11 untuk gol liga ke-12nya musim ini selepas gandingan cantik oleh Messi dan dua lagi pemain yang akan ke Qatar, Achraf Hakimi (Maghribi) dan Nuno Mendes (Portugal).

Carlos Soler menambah jaringan pada minit ke-51 dan kemudian mengumpan bola kepada Hakimi untuk gol ketiga enam minit kemudian. Dua pemain yang tidak akan ke Qatar, Renato Sanches dan Hugo Ekitike masuk dari bangku simpanan dan melengkapkan jaringan dalam 10 minit terakhir permainan.

PSG kini memiliki kelebihan lima mata berbanding pencabar terdekat, Lens, yang menang 2-1 ke atas Clermont pada Sabtu, dengan kelab Rennes kurang lima lagi mata di tangga ketiga.

Untuk perlawanan terakhir sebelum Piala Dunia, gandingan ‘MNM’ – Messi, Neymar, Mbappe – gagal menyerlah pada satu perlawanan tanpa kesungguhan yang tinggi.

Ia bagaimanapun tidak menghalang juara bertahan liga itu menunjukkan kekuatan di jentera serangan mereka sebelum berehat untuk Piala Dunia, dengan liga akan disambung semula pada 28 Disember di mana PSG akan menentang Strasbourg.

Galtier juga memberikan tempoh bermain untuk pemain pertahanan antarabangsa Perancis, Presnel Kimpembe, yang masuk pad 15 minit terakhir selepas pulih dari kecederaan yang memerlukan dia berehat selama sebulan.

Ia adalah berita baik untuk skuad Perancis, sembilan hari sebelum Perancis memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Dunia menentang Australia pada 22 November.

Pada perlawanan lain, Lille menghampiri kelayakan ke bola sepak Eropah dengan kemenangan 1-0 ke atas Angers dan berada dua mata di belakang Lorient yang berada di tangga kelima (slot untuk Liga Konferensi Europa).

Lorient gagal merapatkan kedudukan dengan pasukan di tangga keempat, Marseille selepas hanya seri 1-1 dengan Strasbourg.

Marseille menewaskan Monaco 3-2 di tempat lawan untuk naik ke tangga keempat liga.

Dalam saingan mengelak penyingkiran, Brest menewaskan Troyes 2-1 sementara Nantes bangkit dari ketinggalan dua gol sebelum seri 2-2 dengan Ajaccio. — AFP
 

Advertisement