Anda di sini

Grifo beraksi cemerlang, Freiburg belasah Union 4-1 di laman sendiri

Advertisement
Grifo (dua kiri) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan pada perlawanan  Bundesliga Jerman di antara Freiburg menentang Union Berlin di  Freiburg, kelmarin. — Gambar AFP
Grifo (dua kiri) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan pada perlawanan Bundesliga Jerman di antara Freiburg menentang Union Berlin di Freiburg, kelmarin. — Gambar AFP

BERLIN: Pemain tengah kelab Freiburg, Vincenzo Grifo, menjaringkan tiga gol dalam 20 minit pertama ketika pasukannya membelasah Union Berlin 4-1 di tempat sendiri untuk naik kedua Bundesliga Jerman pada Ahad.

Union, yang mendahului kedudukan liga selama hampir dua bulan, sekarang sudah tewas mudah dua kali dalam tempoh seminggu, selepas dibelasah Bayer Leverkusen 5-0 minggu lepas.

Freiburg memperolehi tendangan penalti seawal minit ketiga, dengan Grifo menyempurnakan penalti untuk gol ketujuhnya musim ini.

Pemain antarabangsa Itali berusia 29 tahun itu menjaringkan gol kedua dua minit kemudian sebelum Union mempunyai peluang untuk bangkit tiga minit selepas itu apabila diberikan tendangan penalti, namun tendangan Robin Knoche terkena palang.

Rentak pantas pada awal permainan berterusan apabila Freiburg memperolehi satu lagi tendangan penalti kurang 10 minit kemudian apabila Diogo Leite menjatuhkan Ritsu Doan dalam kotak penalti.

Kekasaran itu menyebabkan Leite dilayangkan kad merah sebelum Grifo melengkapkan hatriknya pada minit ke-20.

Michael Gregoritsch menjaringkan gol keempat untuk Freiburg pada minit akhir sebelum rehat.

Freiburg mengawal sepenuhnya permainan dalam separuh masa kedua ketika Union bermain secara bertahan untuk mengelakkan pintu gol mereka dibolosi dengan lebih banyak gol.

Union hampir berjaya melakukannya dan memperolehi gol sagu hati dari satu tendangan penalti pada lewat permainan yang disempurnakan Sven Michel.

Freiburg kini kurang empat mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich dengan bola sepak Jerman berehat untuk Piala Dunia 2022.

Kejayaan Union menduduki tangga teratas liga sebelum ini adalah berasaskan pertahanan kebal mereka, dengan  kelab hanya bolos sembilan gol dari 12 perlawanan pertama.

Bagaimanapun, mereka kini sudah bolos 11 gol dari tiga perlawanan terakhir dan pastinya memerlukan peningkatan mendadak menjelang rehat bola sepak domestik.

Gol dalam separuh masa kedua oleh Randal Kolo Muani memastikan Frankfurt seri 1-1 dengan kelab jiran, Mainz.

Mainz membuka jaringan pada minit ke-40 menerusi gol Jonathan Burkardt tetapi Frankfurt, yang menang tujuh dari lapan perlawanan terakhir, mengikat kedudukan pada minit ke-67.

Mainz, yang tewas tiga perlawanan berturut-turut, berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat untuk satu mata berharga. — AFP
 

Advertisement