Anda di sini

Dua pesawat WWII bertembung ketika pertunjukan udara di Dallas

Advertisement


 

Gambar daripada akaun Twitter @GollyItsMollie menunjukkan asap berkepul di tempat kejadian selepas dua pesawat bertembung di udara semasa Wings Over Dallas Airshow di Lapangan Terbang Eksekutif Dallas di Dallas, Texas kelmarin. - Gambar AFP
Gambar daripada akaun Twitter @GollyItsMollie menunjukkan asap berkepul di tempat kejadian selepas dua pesawat bertembung di udara semasa Wings Over Dallas Airshow di Lapangan Terbang Eksekutif Dallas di Dallas, Texas kelmarin. - Gambar AFP

      
HOUSTON: Dua pesawat era Perang Dunia Kedua (WWII) bertembung kelmarin semasa pertunjukan udara di Dallas, menurut pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS).

Setakat ini belum dapat dipastikan jumlah mangsa yang terlibat dalam kedua-dua pesawat itu, masing-masing sebuah Boeing B-17 Flying Fortress dan pesawat lebih kecil Bell P-63 Kingcobra, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA). 

Setakat ini juga belum ada sesiapa yang dipastikan terselamat dalam kemalangan awal tengah hari itu yang berlaku semasa Wings Over Dallas Airshow di Lapangan Terbang Eksekutif Dallas.

Namun beberapa rakaman video yang dimuat naik menerusi media sosial menunjukkan kejadian dramatik pesawat lebih kecil yang turun ke atas B-17 yang terbang lebih rendah ketika kedua-duanya kelihatan membelok ke kiri.

Selepas pertembungan, pesawat itu kelihatan pecah kepada beberapa bahagian besar sebelum terhempas ke daratan lalu meletup menjadi satu bebola api dengan kepulan besar asap hitam.

Pihak FAA menyatakan para ejennya dan pihak Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara akan menyiasat insiden tersebut.

B-17, pesawat pengebom dengan empat enjin, memainkan peranan pentingh dalam memenangi perang udara menentang Jerman semasa WWII.

Dengan reputasi yang kukuh, ia menjadi salah satu pesawat pengebom terbaik yang pernah dihasilkan.

P-63 Kingcobra pula jet pejuang yang dikeluarkan ketika WWII oleh Bell Aircraft namun digunakan hanya oleh pasukan Tentera Udara Soviet. 

Salah satu nahas utama terkini melibatkan sebuah pesawat B-17 adalah pada 2 Oktober, 2019 di mana tujuh maut dalam nahas di sebuah lapangan terbang di Windsor Locks, Connecticut. - AFP

Advertisement