Anda di sini

Cereka Mitos dari Paya Beketan

Advertisement
 

Oleh Dahiri Saini

Montaj;
Beketan (Baketan/Bukitan/Ukitan) merupakan suku kaum minoriti yang tinggal di Sarawak, Malaysia dan Kalimantan Timur, Indonesia. Suku kaum ini ditemui di Bintulu, Sarawak. Jumlah mereka semakin kurang disebabkan oleh perkahwinan campur dan mengamalkan cara hidup serta tradisi pertanian masyarakat Iban. Suku yang berasal dari Palin, Kalimantan ini telah berhijrah ke Sarawak melalui Lubok Antu dan terus menetap di sana sejak abad ke-19. Bukti kewujudan suku ini boleh ditemui di beberapa buah kawasan seperti di Saribas (Paku, Layar dan Rimbas) dan Lubok Antu yang terdapat dalam bentuk perkuburan, nama tempat dan artifak kuno.
****

 

HUJAN lebat yang turun sejak beberapa hari lepas mendinginkan suasana dan persekitaran paya semula jadi itu. Lengkungan paya yang berusia ratusan tahun itu terkenal dengan gelar Paya Beketan; menurut cereka lisan penduduk tertua di situ, Aje Surat. Ketika bulan sabit melengkungi puncak langit, pasti kedengaran bisikan monotonous seperti memanggil dan memujuk sesiapa saja yang terpukau masuk ke dasarnya. Begitulah yang dicerekakan dari generasi ke generasi dalam komuniti suku kaum Beketan.
    “Paya ini terbina dari salasilah yang tak mungkin dapat dilenyapkan atau ditinggalkan. Paya warisan leluhur yang akan dijaga dan dilindungi daripada segala pencerobohan. Meskipun nyawa menjadi galang-gantinya, kami tetap takkan meninggalkan paya yang sentiasa hidup dalam tubuh kami.” Lantunan suara lirih Aje Surat mengacah-acah tanpa henti di benak Hitder. 
    “Segalanya takkan terjadi!” dengus Palin yang berwajah cengkuas pucat dan bertatu ular tedung selar di leher, lengan dan bahu. Malah di pipi kirinya yang cekung jelas kelihatan tatu burung hantu dengan bonjolan mata nyalangnya seperti menolak jelas kemajuan mendatang. Sekilas pandang, lakaran tatu bersadurkan darahnya itu seperti hidup dalam jiwa dan perwatakannya yang sudah berganjak ke takah 61 tahun itu. Namun kekaran tubuhnya tetap tegap dan segar dalam bauan hutan yang dihirupnya setiap masa.
    “Apa perlunya meninggalkan paya ini? Di sinilah kehidupan kami! Lihat di tengah paya itu, ikannya beranak-pinak, di tepiannya pelbagai tumbuhan menghijau dan boleh dimakan. Apa lagi yang diperlukan selain dari semua itu?” Bentakan itu berkelintaran dalam diri Delis, seseorang yang diangankan Palin untuk meneruskan legasi pemilik paya suku kaumnya nanti. Anak muda bermata bugar dan bernafas meruap seperti matahari itu mengiakan apa yang dikatakan kepadanya. 
    “Apak, paya ini sudah tak selamat lagi, jika hujan turun tak berhenti. Apak tahu kan, hulu sungai dari lereng bukit yang menghilir terus ke paya ini boleh menyebabkan banjir besar. Jabatan Meteorologi meramalkan paya ini akan ditenggelami banjir dan berarus deras.” Penerangan Hitder seperti lenyap begitu saja.
    Usai menamatkan pengajian sarjana dalam bidang geologi di Universiti Malaysia Sabah, Hitder ditawarkan menjadi Pegawai Penyelidik Lapangan untuk kajian pemendapan tanah dan kandungan mineral di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Universiti Malaysia Sarawak.
    “Hanya ramalan, Hitd. Tak semestinya benar. Lagipun dah menahun kami mendiami paya ini, tak pernah banjir sekalipun hujan turun berbulan di sini,” balas Palin seraya merenung wajah Hitder yang dikategorikannya sebagai Beketan kontemporari. 
    Hitder, anak tunggal Rusok dan Merangi bernasib baik kerana sejak kematian kedua-dua orang tuanya yang konon lemas di paya tersebut telah diambil sebagai anak angkat oleh Dr. Hauline Hillen. Warganegara Australia yang kebetulan sedang membuat kajian untuk paparan National Geographic berjudul Archaeology: The Threat of Swamp Sedimentation and Climate Temperature in Southeast Asia itu membawa Hitder keluar dari paya tersebut. Cereka itu pun sudah berlalu beberapa langka tahun. 
    “Apak kena pindah juga,” pujuk Hitder seraya memegang kekar lengan lelaki yang terus merenung tanpa berkelip sedikit pun. Hanya anak tekaknya yang bergerak seperti menghidupkan tatu ular tedung selar di lehernya. Dia melihat tatu itu seperti memperli; Kou orang luar tak memahami hubungan leluhur salasilah kaum Beketan dengan kewujudan paya ini. Kou tak memahami keramatnya! Anekdot itu terus bercempera dalam dirinya. 
    “Kami takkan pindah, sekalipun menjadi semah di paya ini, Hitd. Kou tahu kan, kaum Beketan bukan penakut. Paya ini keramat bagi kami dan sumpahan Beketan takkan lenyap sekalipun kami bersemadi di dalam klirieng Beketan.” Itu kalimat akhir Palin yang sukar untuk dipertikaikan lagi. 
    “Tapi, apak. Bukankah hok juga sebahagian dari Beketan?”
    “Kou celup dari Paya Beketan ini. Kou meninggalkan paya ini puluhan tahun tanpa mengenal hati budi dan apa yang kami lalui di sini. Adat resam dan dunia kecil kami di sini takkan mati, meskipun banjir menenggelamkan kami nanti seperti ramalan kou tu.” Kening Palin berselirat. Dengusan nafasnya menderam berat.
    Dicerekakan juga; sesiapa yang melintasi kawasan paya tersebut akan berasa teruja dan terpesona, apatah lagi ketika musim meneran; paya tersebut mengeluarkan semua tumbuhan yang menghijau dan berbunga amat cantik sekali dari dasarnya, dibauri keharuman pelbagai bunga yang pasti melalaikan dan mempesonakan sehingga tidak sedar mereka dibawa ke dasarnya.
    “Paya itu bukan seperti orang luar hebohkan, mengatakan berhantu dan berpuaka,” tempelak Matupuso menempiasi dirinya daripada cemuhan dan kutukan yang obses dalam kehidupannya selama ini. Jika rentetan sejarah perpecahan lampau antara Beketan dan Iban dikenang kembali, sudah pasti memarakkan dendam Matupuso.
    “Kenapa masih berlaku lagi insiden yang sama sedangkan sudah disemah? soal Hitder.
    “Kou orang luar mana kou tahu apa yang berlaku di paya itu. Hok puluhan tahun mendiami paya ni, hok tahulah!” sampuk sinis Matupuso seperti halilintar mencelah perbualan mereka. 
    “Hok juga orang paya ini,” bergetaran suara Hitder apabila dipersoalkan asal-usulnya. Walhal kedua-dua orang tuanya, sememangnya mendiami paya ini sejak leluhurnya lagi. 
    “Kou tu sudah menjadi orang luar. Orang luar tak dapat memahami apa yang berlaku di sini!” Ejekan Matupuso melancip. Bola matanya seperti terkeluar dari kelopaknya dan biasan susuk tubuh Hitder terkalis dalam bonjolan tersebut.
    “Hok lahir di sini, hok hirup segar hutan paya di sini,” tukas Hitder seperti ingin menangis, hatinya benar-benar terusik dan hiba.
    “Itu cerita lama, Hitd. Kou sudah menjadi orang luar, orang luar tak boleh campur dengan orang-orang paya lagi,” hiruk-pikuk suara yang lain saling bergentayangan dan bergumal dalam pendengarannya ketika itu. Semua mata ketika berandau hari itu tertumpu merenung ke wajahnya. 
    “Sudahlah, Hitd. Kou sudah lama menjadi orang luar sebaik saja kou dibawa keluar dulu. Kami sudah anggap kou bukan dari kaum Beketan lagi. Kou kena sedar semua itu.” Penerangan Kuset seperti unggisan yang meragut identiti bangsanya sendiri. 
    “Apak, mak, hok takkan biarkan klirieng kalian ditenggelami banjir dari hulu!” Janji itu terus menderam dalam emosi Hitder. 
    Paya tersebut sudah diwartakan sebagai kawasan larangan, dan malam ketiga puluh tujuh itu juga telah merubah segalanya apabila Delis, anak bongsu Palin hilang. Menurut yang empunya cereka, ramai yang melihat Delis mengail di tebing sebelah hilir paya tersebut sehari sebelum kehilangannya. Cereka tersebut pun bertebaran dalam pelbagai versinya.
    “Kita harus kerahkan semua mencari anak hok! Sesiapa menjumpainya, hok beri sepasang jani hutan!” Lantunan suara lelaki bersusuk tinggi dan agam itu membuatkan sesiapa saja yang ada di ruai malam itu terus bercita-cita sebagai pemenang.
    “Delis waris Beketan yang akan meneruskan salasilah hok di sini, dialah yang harus menjaga paya ini.” Geliatan resah Palin jelas tertera di wajahnya. Dan apa yang dikatakan Hitder beberapa hari lepas terus menghantui ingatannya. 
    “Mendapan tanah paya tersebut boleh menjerluskan sesiapa saja.” Kalimat itu terus bergema dalam dirinya kini. Dia keliru, adakah apa yang dikatakan itu kebetulan atau dirancang?
    “Paya itu menagih semahnya lagi, Palin!” Ugutan Matupuso menerjah semula gegendangnya. Menolak atau menerima sesuatu keadaan yang mendesaknya.
    “Tapi bukankah sudah disemah dengan jani bunting sulung beberapa hari lalu?” Sedikit kendur suara Palin.
    “Mungkin tak cukup, Palin?” Pantas dan tegas suara Matupuso.
    “Tak cukup? Seekor jani bunting sulung dan bertaring melengkung sehingga ke telinganya tak cukup?” Bauran kekesalan dan keraguan terpacul dalam nada Palin.
“Memang tak cukup, Palin. Lagipun, semahnya kali ini bukan jani tapi… semahnya, alei luar.” Bisik Matupuso pada Palin, hatinya berdetak puas; biar semua itu dapat melenyapkan dendam kesumat leluhur hok selama ini, desisnya.
    “Alei luar?” 
    “Ya, alei luar, tapi darah kelahirannya mengalir di tanah paya ini.”
    “Hitd?” Pantas Palin menukas.
    “Dia telah membuat onar Paya Beketan menjadi kemaruk darah, Palin. Dia menyebabkan makhluk itu mengamuk dan tak mahu menerima jani sebagai semah lagi!” Hasutan suara Matupuso lantang. Matanya sempat bertembung dengan mata Palin.
    “Mana kou tahu? Lagipun dia juga bukan alei luar, tapi…” Ragu-ragu kalimat Palin. Herotan bibirnya jelas kelihatan dia sedang bersedih dengan kehilangan anak bongsunya.
    “Hok tahu tuntutan paya tu. Lagipun, sejak alei tu datang ke sini, banyak perkara pelik berlaku,” tutur Matupuso memasung kegoyahan perasaan Palin ketika itu. 
Palin menjadi serba-salah.
    “Hok percaya Kuset setuju dengan hok katakan ini!” Tegas suara Matupuso menyangkal keraguan Palin. Bagi Matupuso, ketika itulah masa paling sesuai untuk dia melangsaikan dendam leluhurnya pada suku kaum Beketan.
    Malam itu tidak seperti malam-malam lain, ruai ruangan hanya segelintir saja dijemput. Hitder yang baru saja bersila di hadapan Kuset, Palin dan Matupuso memerhati satu persatu wajah tipikal di hadapannya. Seperti ada sesuatu yang sukar difahaminya.
    “Kenapa hanya kita saja di sini?” tanya Hitder apabila melihat ruai kelihatan lengang dan tidak ada keriuhan seperti selalunya. 
    “Malam ini ada upacara leluhur, Hitd. Hanya kita saja yang berada di sini. Lagipun, kita berunding tatacara untuk pemindahan itu,” tukas Kuset yang sedikit meliar pandangan matanya. Sesekali dia menelan liurnya apabila matanya bertembung dengan kerlingan mata anak saudaranya, Hitder seketika.
    “Oh, gitu, tapi kenapa ada ritual seperti hendak menghalau antu?” tanya Hitder yang seperti terhidu sesuatu luar biasa berlaku malam itu.
    “Kami perlukan semahnya, Hitd.” Usikan Matupuso bersuara garau dan sedikit menderam keras seraya berkahak lalu meludah dari celahan lantai tempat dia bersila. 
Kuset dan Palin saling berpandangan dengan kebiasaan Matupuso tadi.
    “Antu Paya Beketan perlukan semah lagi? Bukankah beberapa hari lepas semah jani sudah dilakukan?” 
Soalan bertubi-tubi Hitder menyebabkan ketiga-tiga lelaki tipikal itu saling berpandangan. Di benak mereka terus ditujahi debaran nekad.
    “Antu paya tak mahu semah jani lagi,” tukas Kuset sedikit perlahan suaranya, tapi jelas kedengaran dengusan nafasnya yang tersekat-sekat.
    “Ya, antu paya mahukan semah darah kou untuk melepaskan Delis anak hok!” teriak Palin nyaring. 
Serentak itu, Kuset dan Matupuso terus merengkuh tubuh Hitder lalu mengikatnya sehingga pergerakan Hitder terkunci terus. Rontaan Hitder menyebabkan seluruh tubuhnya dijalari kesakitan yang teramat sangat. Ngilu dan sengal-sengal.
    “Kenapa hok dijadikan semah paya itu?” Rintihan Hitder bergumal dalam terpaan angin malam yang mendinginkan. Sesekali di pinggir hutan bersebelahan paya tersebut kedengaran salakan anjing sayup-sayup seperti melihat sesuatu yang luar biasa.
    “Sebab keceloparan kou telah membuat makhluk paya tu pungkas dan mengamuk!” tempelak Matupuso sambil mengacip kedua-dua bibir legamnya. Bau perat masam dari ruapan mulutnya amat memualkan. Kesan kunyahan sirih sempat dikesatnya dengan lengan bajunya.
    “Sebab kou alei luar!” herdik Kuset tergagap-gagap. Dia mengurut dadanya perlahan sehingga kedengaran sedakan terkeluar dari mulutnya.
    “Hok alei paya, apak. Kasihani hok, apak Kuset,” Hitder merenung ke dalam mata bapa saudaranya itu, meminta simpati. Namun Kuset endah tidak endah langsung rayuan anak saudaranya itu. 
Kou alei luar!” bentak Matupuso tersenyum puas.
    “Anak tunggal hok harus dicari, Hitd. Gara-gara kou menyebabkan makhluk paya itu mahukan semahnya yang luar biasa, dan semah itu mesti alei luar seperti kou!” Renungan sinis Matupuso sempat dicuri pandang Hitder.
    “Semua itu tak benar, apak. Itu hanya dendam Matupuso pada kaum Beketan saja. Hok tahu, Matupuso sengaja menukarnya, kerana dendam kesumatnya pada Beketan selama ini!”
    “Kou jangan menolak sumpahan Beketan! Kou sedar tak, koulah punca paya itu mengutuk kita semua.” Bentak Matupuso merenung tajam. Pipi lelaki itu bergerak-gerak. Dia kemudian bersandar pada dinding di ruai tersebut.
    “Semua ini salah faham, apak Kuset. Hok sekadar mengkaji kandungan asid dalam air paya dan tumbuhan sekitarnya, dan tak kena mengena dengan apa yang kalian tuduhkan itu,” bidas Hitder dalam suara yang tersekat-sekat.
    “Teruskan upacara ini!” perintah Palin.
“Bagaimana dengan kou, Kuset? Jika kou tak dapat, baik kou masuk ke bilik!” jerkah Matupuso sambil membeliakkan matanya. 
Kuset yang dijerkah terkejut. Hatinya bungkam apabila dia melihat ke arah hujung ruai, ada kelibat kedua-dua mendiang adiknya, menghampirinya. 
    “Lepaskan anak hok, Kuset,” bisikan itu seperti lirihan yang sukar untuk Kuset halang dan fahami. Matanya terbelalak merenung sekeliling. Namun kelibat yang dilihatnya tadi sirna.
    “Antu paya!” Rasukan histeria Kuset bergema sehingga mengejutkan Palin dan Matupuso yang hendak memulakan upacara ralit pemujaan semah. 
    “Kou dah gila, Kuset!” herdik Palin.
    “Mata kou tu dah dikaburi antu paya!” sampuk Matupuso serentak melukakan lengan Hitder dengan badik yang dibawanya lalu menyalut darah yang mengalir ke dalam bekas campuran darah ayam hitam. 
    “Tolong hok, apak! Tolong hok!” Mendengar raungan Hitder, beberapa orang penduduk membuka bilik masing-masing.
    “Apa yang berlaku ini? Kenapa Hitd diikat?” tanya Cikgu Mukan dan beberapa penduduk yang lain; ingin tahu.
    “Kalian masuk ke bilik masing-masing. Kami melakukan upacara semah menghalau antu paya dari mengganggu kita semua!” perintah Palin. Mukanya membengis.
    “Tapi, Hitd tu bukan alei luar, apak dan maknya Beketan juga, kasihan dia teraniaya!” tempelak Ratop mula bergerak ke arah Hitder tapi sempat dihalang Palin dan Matupuso.
    “Dialah yang menyebabkan antu paya marah sehingga mahukan semahnya dan anak hok jadi korban!” jerkah Palin. 
    “Eh, salah tu. Hitd ni tak kena mengena dengan paya tu,” sampuk Ratop lagi. Dia sempat melihat wajah pucat Hitder yang sudah banyak kehilangan darah dari torehan di lengannya.
    “Kita batalkan upacara semah malam ni!” jerit Ratop berulang-ulang kali. 
Mendengar jeritan tersebut, semua penduduk bergegas meluru ke arahnya. Kuset, Palin yang berada di situ tergamam apabila penglihatan mereka tertumpu pada kelibat makhluk yang bertubuh agam bersalut tumbuhan menjalar menghampiri mereka. Kuku-kaki mereka terpempan ke lantai. Matupuso yang melihat perlakuan itu, bingkas bangun lalu melarikan diri dan hilang di sebalik kegelapan malam. 
    “Matupuso tu memang gila! Takkan baru beberapa hari semah seekor jani bunting sulung, paya tu mahukan semah lagi. Kecuaian mereka sendiri yang terlalu leka dan lalai sehingga terpujuk geruh paya tersebut.” Tutur Aje Sirat yang tergocoh-gocoh keluar dari biliknya.
    Keesokan harinya penduduk persekitaran Paya Beketan dikejutkan dengan penemuan mayat Matupuso yang timbul di tengah paya tersebut. Namun setelah penduduk kampung menarik mayatnya, mereka tergamam. Kedua-dua mata lelaki mitosisme itu hilang seperti baru dicungkil keluar.
    “Begitulah cereka mitos dari Paya Beketan berakhir.”

Glosari
alei             lelaki
antu           penunggu/hantu
klirieng     keranda/tempat menyimpan mayat suku kaum Beketan
apak           bapa
hok             aku/saya
kou             kau/awak/kamu
mak           emak

 
 
Advertisement