Anda di sini

BNM antara lima bank pusat ASEAN meterai MoU pacu rangkaian pembayaran serantau

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bank-bank pusat Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama membabitkan rangkaian pembayaran serantau (RPC).

Dalam kenyataan bersama hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM), Bangko Sentral Ng Pilipinas (BSP), Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan Bank of Thailand (BOT) berkata kerjasama yang dimeterai secara berasingan ketika Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan G20 di Bali, Indonesia, hari ini, adalah bagi menyokong pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif.

RPC dijangka menjadi penyumbang penting dalam mempercepat pemulihan ekonomi serantau serta menggalakkan pertumbuhan yang inklusif. 

“Pelaksanaan rangkaian pembayaran rentas sempadan ini dilihat dapat menyokong dan meningkatkan aktiviti perdagangan, pelaburan, pengukuhan kewangan, pengiriman wang, pelancongan dan kegiatan ekonomi lain yang rentas sempadan.

“Ini akan memberi manfaat khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana kerana RPC akan memudahkan penyertaan mereka ke pasaran antarabangsa. Kerjasama ini akan turut merangkumi beberapa modaliti termasuk kod imbasan QR dan pembayaran pantas,” kata kenyataan bersama itu.

Sementara itu, Presiden Indonesia Joko Widodo dalam ucap tama di sidang tersebut, menekankan  kepentingan kerjasama yang mantap dalam menangani cabaran global.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada lima gabenor bank pusat terbabit di atas komitmen untuk mencapai kejayaan besar yang inovatif dan dapat mempercepat rangkaian pembayaran serantau.

Selain itu, bank-bank pusat terbabit berkata inisiatif kerjasama tersebut juga selaras dengan agenda keutamaan Presidensi G20 Indonesia dalam bidang transformasi digital, termasuk melalui sistem pembayaran dalam era digital yang jelas dipaparkan menerusi usaha sama mempertingkat rangkaian pembayaran rentas sempadan antara Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

“Pada masa hadapan, inisiatif rangkaian pembayaran ini boleh diperluas untuk turut merangkumi negara-negara lain di rantau ini serta berpotensi melibatkan negara dari rantau lain,” katanya.

Sementara itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menyifatkan inisiatif tersebut menegaskan lagi kepentingan kerjasama bank pusat dalam menyokong usaha pembangunan rangkaian pembayaran generasi baharu.

“Usaha untuk merealisasikan visi rangkaian pembayaran rentas sempadan ASEAN yang pantas dan cekap akan memacu cita-cita pendigitalan serta memperkukuh integrasi kewangan demi manfaat pembangunan ekonomi rantau ini,” katanya.

Kerjasama penting ini juga menandakan titik permulaan bagi Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2023 serta menyokong aspirasi bersama ASEAN untuk mewujudkan rangkaian sistem pembayaran serantau yang akan membolehkan pembayaran rentas sempadan secara pantas, lancar dan lebih berpatutan.

 Malah, selaras dengan pendekatan pragmatik ASEAN untuk memperdalam integrasi melalui pengaturan yang bermanfaat kepada semua berdasarkan tahap kesediaan, inisiatif terbabit akan membina asas-asas utama untuk membolehkan penyertaan negara lain ASEAN dalam masa terdekat, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan ekonomi serantau. - Bernama 

Advertisement