Anda di sini

Arsenal kekal gah, benam Wolves 2-0

Advertisement
Pemain tengah Wolverhampton Boubacar Traore (kiri) bersaing dengan penyerang  Arsenal Gabriel Jesus pada perlawanan Liga Perdana  Inggeris di antaran Wolverhampton Wanderers dan Arsenal di stadium Molineux di Wolverhampton, England, kelmarin. — Gambar AFP
Pemain tengah Wolverhampton Boubacar Traore (kiri) bersaing dengan penyerang  Arsenal Gabriel Jesus pada perlawanan Liga Perdana  Inggeris di antaran Wolverhampton Wanderers dan Arsenal di stadium Molineux di Wolverhampton, England, kelmarin. — Gambar AFP

MANCHESTER: Arsenal akan memulakan rehat bola sepak Piala Dunia dengan kelebihan lima mata di singgahsana Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Wolves 2-0 sementara Manchester City dikejutkan 1-2 oleh Brentford di tempat sendiri pada Sabtu.

Newcastle kekal di tangga ketiga liga selepas memberikan Chelsea kekalahan liga ketiga berturut-turut dengan kemenangan 1-0 di St James’ Park sementara Tottenham Hotspur menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir untuk melengkapkan kebangkitan 4-3 ke atas Leeds United.

City belum tewas di Stadium Etihad sejak bulan Februari tetapi dikejutkan dengan gol kemenangan Ivan Toney pada minit akhir permainan.

Kapten Brentford, yang tidak tersenarai ke dalam skuad England ke Piala Dunia 2022, menjaringkan gol ke-10nya musim ini untuk meletakkan Brentford di hadapan namun City mengikat kedudukan sebelum rehat menerusi rembatan cantik Phil Foden.

Pengurus City, Pep Guardiola memberi amaran sebelum perlawanan di mana pemainnya mungkin mempunyai sebahagian perhatian ke Piala Dunia dengan 10 pemain dalam kesebelasan utamanya akan ke Qatar, tuan rumah Piala Dunia 2022.

Aksi hambar City dihukum seawal minit kelapan masa kecederaan apabila Brentford melancarkan serangan pantas dengan Toney menyempurnakan hantaran Josh Dasilva untuk kemenangan bersejarah Brentford.

“Pasukan lebih bagus menang,” akui Guardiola. “Kami mempunyai banyak masalah dan kami gagal mengasak kerana dikawal oleh mereka.”

Pengurus Brentford, Thomas Frank, memuji keputusan yang mungkin dianggap terbaik pernah dicipta oleh kelab ketika mereka naik ke tangga ke-10 liga.

“Bercakap kepada beberapa orang di kelab, ini mungkin keputusan terbaik pernah dicapai,” kata Frank. “Menentang salah sebuah kelab terkaya di dunia dan kami dengan bajet paling rendah dalam liga ini.”

Arsenal mengambil sepenuh peluang untuk meningkatkan peluang memburu kejuaraan liga apabila mengekalkan rentak kemenangan untuk menjarakkan diri dari pencabar terdekatnya,
Martin Odegaard mengekalkan rentak Arsenal apabila menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua.

Pengurus baharu Wolves, Julen Lopetegui, menonton perlawanan itu sebelum memulakan tugas secara rasmi pada Isnin ini dan dia sememangnya mempunyai banyak yang perlu dilakukan untuk mengeluarkan pasukannya yang kini berada di tangga terbawah liga.

Tottenham sekali lagi dipaksa bangkit dari ketinggalan selepas gol oleh Crysencio Summerville dan Rodrigo, di antara gol penyamaan Harry Kane untuk meletakkan Leeds 2-1 di hadapan pada masa rehat.

Leeds, yang dibimbing Jesse Marsch, menang 4-3 ke atas Bournemouth minggu lepas tetapi kali ini, mereka berdepan kebangkitan pasukan lawan.

“Saya berasa seperti ada orang menyentak jantung saya,” kata Marsch.

Ben Davies mengikat kedudukan buat Spurs sebelum Rodrigo menjaringkan gol kedua peribadi untuk meletakkan Leeds kembali di hadapan.

Tottenham kelihatan sudah membiasakan diri dengan kebangkitan minit akhir dan mereka meraih tiga mata penuh apabila Rodrigo Bentancur menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir untuk melengkapkan kebangkitan.

Newcastle merampas kembali tangga ketiga liga tidak lama selepas kemenangan Spurs apabila gol Joe Willock memastikan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea, yang masih tanpa kemenangan dari lima perlawanan.

Newcastle kini hanya kurang dua mata di belakang City selepas mengumpul 22 dari kemungkinan 24 mata.

“Saya berasa sangat bangga dengan cara pemain saya bermain secara konsisten,”  kata pengurus Newcastle, Eddie Howe.
“Sekarang, cabarannya ialah untuk mengekalkannya dan meningkat lagi usaha.”

Liverpool memulakan rehat bola sepak Piala Dunia dengan positif apabila Darwin Nunez menjaringkan dua gol ketika menewaskan Southampton 3-1.

Roberto Firmino membuka jaringan buat Liverpool seawal minit keenam perlawanan di Anfield tetapi Che Adams mengikat kedudukan pada perlawanan pertama Nathan Jones sebagai pengurus kelab.

 Nunez kelihatan hambar sejak perpindahan bernilai 75 juta euro dari Benfica tetapi penyerang antarabangsa Uruguay itu sudah menjaringkan lapan gol pada musim pertamanya di Liverpool selepas dua penyudah kemas sebelum rehat.

Leicester terus menaiki anak tangga liga namun ada kebimbangan terbaharu untuk skuad kebangsaan England.

Prestasi cemerlang James Maddison membolehkannya tersenarai ke dalam skuad kebangsaan England ke Piala Dunia 2022 dan dia membuka jaringan untuk gol ketujuhnya musim ini.

Namun pemain tengah itu mengalami kecederaan tidak lama selepas itu dan dikeluarkan, walaupun ada dakwaan bahawa ia tidak serius.

“Kecederaan saya tidak terlalu teruk!” ciap Maddison. “Masalah kecil yang menyebabkan rasa sakit. Tidak sabar untuk berkumpul (skuad England) Isnin ini.”

Harvey Barnes menjaringkan gol kedua Leicester 12 minit sebelum tamat permainan untuk memastikan lawannya, West Ham United kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Everton juga satu mata di atas zon penyingkiran selepas tewas sekali lagi kepada Bournemouth.

Marcus Tavernier, Kieffer Moore dan Jaidon Anthony menjaringkan gol untuk Bournemouth, untuk kemenangan kedua berturut-turut selepas menang 4-3 pada perlawanan Piala Liga Inggeris.

Nottingham Forest melangkah keluar dari zon penyingkiran selepas menewaskan Crystal Palace 1-0. — AFP

Advertisement