Anda di sini

Suspek kes bunuh Korea Selatan setuju diekstradisi ke New Zealand

Advertisement
 

SEOUL: Seorang wanita Korea Selatan berdepan tuduhan membunuh yang melibatkan kematian dua kanak-kanak yang mayat mereka ditemui di dalam bagasi di New Zealand telah bersetuju untuk diekstradisi, kata jurucakap mahkamah kelmarin.

Mahkamah di Seoul kelmarin meluluskan ekstradisi wanita berusia 42 tahun – yang sebelum ini menafikan tuduhan – selepas dia bersetuju untuk berpindah menerusi penulisan, jurucakap tersebut memberitahu AFP.

Kementerian Kehakiman Korea Selatan akan membuat keputusan akhir mengenai ekstradisi ke New Zealand tidak lama lagi, tambah jurucakap itu.

“Saya boleh mengesahkan mahkamah telah meluluskan permohonan ekstradisi. Ia akan berlaku dalam masa seminggu selepas kementerian kehakiman meluluskannya, yang akan berlaku kerana dia bersetuju untuk berpindah,” kata jurucakap, sambil menambah bahawa suspek telah “memberikan kebenaran bagi ekstradisi dalam bentuk penulisan”.

Polis Korea Selatan menahan wanita itu di bandar pelabuhan Ulsan pada September,  beberapa minggu selepas pihak berkuasa New Zealand menemui mayat dua kanak-kanak, dipercayai berusia di antara lima dan 10 tahun ketika mereka meninggal dunia.

Gambar dalam media tempatan pada masa itu menunjukkan wanita, yang tidak dikenal pasti oleh polis di Korea Selatan atau New Zealand, telah dibawa keluar dari sebuah balai polis Ulsan oleh pegawai penyiasat berpakaian preman, menutupi kepalanya dengan sehelai kot  yang besar.

Ketika ditanya oleh wartawan sama ada dia akan mengaku bagi pembunuhan itu, wanita tersebut berulang kali menyatakan “saya tidak melakukannya” ketika  dia dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan polis.

Rangka tulang itu ditemui selepas sebuah keluarga yang tidak mengesyaki apa-apa telah membeli sebuah treler yang penuh dengan barangan ketika acara lelongan bagi barangan yang ditinggalkan.

Polis New Zealand menyatakan dua mayat itu mungkin telah berada dalam simpanan selama beberapa tahun, yang menyukarkan siasatan.

Pihak berkuasa telah beberapa kali menegaskan bahawa keluarga yang menemui mayat tidak mempunyai kaitan dengan homisid dan telah diberikan sokongan bagi membantu berdepan dengan trauma.

Selepas menerima permohonan rasmi bagi ekstradisi daripada pihak berkuasa New Zealand, kementerian kehakiman Korea Selatan menyatakan ia akan “membuat setiap usaha” bagi meneruskan dengan pemindahan wanita itu “sejajar dengan prinsip perundangan”.

Polis menyatakan wanita  tersebut telah dilahirkan di Korea Selatan dan kemudian berpindah ke New Zealand, sebelum kembali ke Korea Selatan pada 2018. — AFP
 

Advertisement