Anda di sini

PKMS digesa kaji PCDS 2030 untuk pembangunan ahli 

Advertisement
Fadillah (berdiri belakang, dua kiri) menyaksikan pemberian bantuan oleh Dr Wan Ali kepada tiga daripada anak yatim yang menerima bantuan PKMS. Turut kelihatan, Samad (kiri).
Fadillah (berdiri belakang, dua kiri) menyaksikan pemberian bantuan oleh Dr Wan Ali kepada tiga daripada anak yatim yang menerima bantuan PKMS. Turut kelihatan, Samad (kiri).

KUCHING: Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) digesa mengkaji dan menganalisis Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk pembangunan ahli mereka dalam konteks sosial dan ekonomi.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Fadillah Yusof berkata, PKMS perlu mengetahui apakah strategi yang telah disediakan dan bagaimana mereka boleh menggunakan strategi itu untuk ahli mereka khususnya membangunkan ekonomi rakyat.

“Mereka yang berada dalam kumpulan B40, bagaimana kita boleh membantu, mengenal pasti, bukan sahaja dari sudut kewangan tetapi bagaimana kita sebenarnya mahu menambah pendapatan, apakah usaha yang boleh dilaksanakan dan inisiatif lain, ini kita perlu fikir dan ambil aksi bersama.

“Saya, dalam apa jua kapasiti saya, akan membantu rakyat apabila diperlukan, sehaluan, membawa dan merancang program yang boleh meningkatkan sosioekonomi masyarakat kita terutamanya golongan B40,” katanya ketika berucap pada Hi-Tea dan Majlis kesyukuran anjuran PKMS di sebuah hotel tempatan di sini, semalam.

Fadillah yang juga calon kerusi GPS Parlimen Petra Jaya mengingatkan ahli supaya tidak sentiasa bergantung kepada peruntukan kerajaan atau peruntukan daripada jabatan sosial semata-mata, tetapi perlu mempunyai inisiatif untuk membantu membangunkan persatuan itu dari segi kewangan melalui kaedah yang dicetuskan oleh mereka dalam membangunkan ahlinya.

“Kita perlu laksanakan program supaya walaupun duduk di rumah, mereka juga boleh menjana pendapatan melalui kemahiran mereka, asalkan orang itu mampu, dan boleh melakukan aktiviti yang menambah pendapatan mereka sama ada menjahit, memasak atau seseorang yang mempunyai kepakaran untuk menyediakan apa-apa jenis khidmat nasihat dan lain-lain, ini memerlukan strategi,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ahli bahawa orang ramai akan menghadapi cabaran besar tahun depan dan tahun-tahun akan datang.

“Jika kita melihat situasi ekonomi global, atau senario politik di peringkat dunia, keadaan tidak menentu berikutan perang antara Ukraine dan Rusia dan keadaan ekonomi, inflasi dan kemelesetan di Eropah dan AS, yang bermakna kita akan menghadapi ketidaktentuan dan itu cabaran besar," katanya.

Pada majlis itu, seramai 80  anak yatim, pemenang bacaan al-Quran, ibu tunggal dan warga emas menerima bantuan daripada PKMS disaksikan oleh Fadillah.

Turut hadir Yang Dipertua PKMS Pusat Dr Wan Ali Tuanku Madihi dan Pengerusi PKMS Astana Samad Meterang.
 

Advertisement