Anda di sini

Nanta rasmi Pejabat SSM Negeri Sarawak yang baharu di City Square

Advertisement
Nanta (kanan) bersama Abdullah (dua kanan), Nor Azimah (kiri) serta yang lain semasa merasmikan pembukaan Pejabat SSM Negeri Sarawak di Kuching, semalam. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Nanta (kanan) bersama Abdullah (dua kanan), Nor Azimah (kiri) serta yang lain semasa merasmikan pembukaan Pejabat SSM Negeri Sarawak di Kuching, semalam. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melakar satu lagi pencapaian dengan perasmian bangunan pejabat baharu miliknya di negeri ini semalam.

Perasmian Pejabat SSM Negeri Sarawak yang baharu di City Square tersebut disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan dihadiri Timbalan Menteri di Pejabat Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.

Nanta dalam ucapannya berkata, pembukaan pejabat baharu SSM ini membuktikan SSM sentiasa peka dan mengambil berat tentang keperluan kemuniti perniagaan, terutama di Sarawak. 

"Di samping dapat memberikan kemudahan yang terbaik kepada komuniti niaga di negeri ini, bangunan baharu ini juga diharapkan dapat mendorong warga kerja SSM untuk terus mencapai prestasi dan kualiti perkhidmatan yang lebih tinggi.

"Di samping menyampaikan perkhidmatannya kepada komuniti perniagaan, SSM juga sering membantu masyarakat setempat seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang berpaksikan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. 

"Ini dilaksanakan SSM melalui agihan Wakalah Zakat Korporat dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat atau CSR," ujarnya.

Menurut Nanta, entiti-entiti perniagaan ini merupakan pemangkin kepada ekonomi negara, amnya dan Sarawak, khususnya. 

Katanya, selain menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi, entiti-enti perniagaan yang didaftarkan di SSM ini juga mencipta pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

"Ternyata, peluang-peluang pekerjaan berterusan yang ditawarkan oleh entiti-entiti perniagaan ini dapat mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kesan akibat pandemik COVID-19 dan seterusnya membina semula ekonomi dengan asas yang lebih baik.

"Sehubungan itu, adalah sangat penting untuk pihak-pihak berkepentingan berganding bahu dengan SSM untuk mengalakkan komuniti niaga di Sarawak mendaftarkan perniagaan mereka di SSM sama ada melalui entiti syarikat atau entiti perkongsian liabiliti terhad (PLT)," katanya.

Sementara itu, Nor Azimah dalam ucapannya berkata, Pejabat Pendaftar Syarikat di Sarawak mula beroperasi pada tahun 1967 di Electra House, Kuching dan berpindah ke Bangunan Bank Negara pada tahun 1978. 

"Pada 7 Ogos 2017, SSM Sarawak telah berpindah masuk ke bangunan serba moden ini yang terletak di City Square, Jalan Pending. 

"Bangunan berkeluasan 49,000 kaki persegi ini menjadi kebanggaan semua warga SSM yang kini tidak perlu lagi menyewa bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada komuniti niaga di Sarawak," katanya.

Menurut beliau, dengan kekuatan seramai 26 pekerja, Pejabat SSM Negeri Sarawak menawarkan perkhidmatan di tiga daripada sembilan tingkat bangunan terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga 31 Oktober 2022, sebanyak 94,229 syarikat dan 3,158 PLT di Sarawak telah berdaftar dengan SSM. 

"Bagi entiti syarikat, angka ini menunjukkan peningkatan lebih 100 peratus jika dibandingkan dengan lima tahun sebelumnya di mana 46,628 syarikat diperbadankan, manakala bagi PLT pula, peningkatan yang direkodkan adalah lebih 175 peratus berbanding hanya 1,146 PLT yang didaftarkan lima tahun lalu," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement