Anda di sini

Festival Sunbear bekerjasama dengan The Borneo Post, Utusan Borneo

Advertisement
 

KUCHING: Festival Muzik dan Seni Sunbear 2022 (Festival Sunbear 2022) mengumumkan perkongsian dengan akhbar The Borneo Post dan Utusan Borneo sebagai Rakan Media Rasmi mereka dari Sarawak, semalam.

Penganjur Festival Sunbear 2022 percaya The Borneo Post dan Utusan Borneo mampu menarik dan menyampaikan kandungan Sunbear ke arah sasaran demografi yang berbeza melalui platform cetak dan digital.

Penganjur berkata, kedua-dua akhbar terbabit diyakini mampu memperkasakan usaha mereka mencapai sasaran yang ditetapkan dalam festival berkenaan.

"Sebagai salah seorang pembaca akhbar terbabit, saya yakin melalui perkongsian ini kami dapat memperkasakan usaha kami untuk mencapai sasaran yang ditetapkan untuk festival berkenaan.

"Ini kerana hanya melalui kerjasama itu, kami boleh mencapai kejayaan," kata penganjur.

Selain berkongsi berita dan laporan terkini mengenai festival itu, Utusan Borneo akan memberi peluang kepada pengunjung festival untuk membeli tiket festival dengan diskaun 30 peratus. 

Mereka yang berminat hanya perlu memotong logo Sunbear yang akan disiarkan di akhbar apabila terdapat laporan mengenai festival itu. 

Kadar diskaun hanya layak untuk tiket prajualan yang berharga RM220. 

Untuk menikmati kadar diskaun istimewa, bawa tiga potongan logo Sunbear ke Tirta Barong di Lebuh Wayang di sini dan tunjukkan kepada kakitangan untuk menebus diskaun bagi satu tiket. 

Seorang dibenarkan menebus diskaun untuk satu tiket sahaja.

Pada masa yang sama, orang ramai juga dikehendaki mengikuti Festival Sunbear dan Utusan Borneo di halaman media sosial mereka iaitu Facebook atau Instagram untuk layak menerima tawaran itu. 

Diskaun tersebut terhad kepada 200 tiket yang akan berakhir pada 5 Disember.

Mengulas lanjut, festival itu akan diadakan pada 9 dan 10 Disember di Kampung Budaya Sarawak, Santubong. 

Dalam pada itu, festival berkenaan akan menampilkan lebih 11 artis antarabangsa dan 24 artis tempatan, masing-masing akan menampilkan muzik yang menepati cita rasa penggemar muzik dari semua lapisan masyarakat.

Antara artis utama yang dijadualkan membuat persembahan pada festival itu ialah The Red Jumpsuit Apparatus (Amerika Syarikat), Danilla (Indonesia), Ramengvrl (Indonesia), Phum Viphurit (Thailand), Fur (United Kingdom) dan artis Malaysia yang berpangkalan di Selangor, Sekumpulan Orang Gila.

Pencinta seni dan kraf juga boleh melihat Culture City Sunbear kerana 'bandar' itu akan menawarkan pengalaman fesyen, muzik dan budaya.

Penganjur festival berhasrat menggunakan Sunbear sebagai satu cara untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama dalam jangka masa panjang.
 

Advertisement