Anda di sini

Warga HK pertama dipenjara kerana hina lagu kebangsaan

Advertisement
 

HONG KONG: Seorang penduduk Hong Kong yang mengibarkan bendera era kolonial ketika menonton siaran awam Olimpik Tokyo telah menjadi orang pertama yang dipenjarakan kerana menghina lagu kebangsaan negara China, lapor media tempatan kelmarin.

Paula Leung, 42, mengaku bersalah kerana menghina “March of the Volunteers” di China ketika ia dimainkan selepas pemain lawan pedang Hong Kong, Edgar Cheung memenangi pingat emas, lapor South China Morning Post.

Leung mengibarkan bendera Hong Kong era kolonial ketika majlis penyampaian pingat telah ditunjukkan pada skrin besar di pusat beli-belah pada Julai 2021, menurut mahkamah.

Seorang majistret memenjarakan Leung selama tiga bulan dan menyatakan defendan telah memperlekehkan secara serius lagu kebangsaan dan menjejaskan maruah negara, lapor Post.

Hong Kong meluluskan perundangan pada 2020 mengharamkan penghinaan terhadap lagu kebangsaan China susulan protes demokrasi yang besar dan kadangkala ganas, sebahagian daripada tindakan yang meluas yang telah menyekat perbezaan pendapat di bandar raya itu.

Olimpik Tokyo menyaksikan kejayaan cemerlang atlet Hong Kong dan membawa kepada limpahan sokongan tempatan, dengan sebahagian menegaskan identiti unik bandar dan kebudayaan Kantonis.

Beratus-ratus peminat telah berkumpul di sebuah pusat beli-belah untuk menonton pemain lawan pedang Cheung memenangi emas, dan segelintir mengejek lagu kebangsaan dan melaungkan “Kami adalah Hong Kong”.

Undang-undang yang melarang penghinaan lagu kebangsaan China boleh membawa kepada hukuman penjara selama tiga tahun dan denda maksimum HK$50,000. — AFP
 

Advertisement