Anda di sini

Tujuh korban pertempuran terbaru di selatan Filipina

Advertisement
 

MANILA: Tujuh orang terbunuh dalam pertempuran antara tentera Filipina dan pemberontak Islam di wilayah selatan, kata pihak berkuasa kelmarin, dalam salah satu pertempuran paling berdarah sejak perjanjian damai ditandatangani pada 2014.

Pertempuran yang berterusan berlaku pada Selasa di pulau Basilan, di luar pulau selatan utama Mindanao, susulan apa yang dikatakan oleh pihak tentera sebagai “kesilapan komunikasi” antara anggota tenteranya dan pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Selama beberapa dekad Filipina yang mempunyai majoriti penduduk Katolik telah dibelenggu oleh keganasan, termasuk kebangkitan  pemisah diketuai oleh penduduk Islam yang membunuh lebih 100,000 orang.

Satu perjanjian damai dengan MILF, yang paling besar antara kumpulan pemberontak, telah dimeterai pada 2014.   

Pemimpinnya sekarang mengetuai sebuah kawasan pemerintahan sendiri di kawasan bekas peperangan yang termasuk Basilan, ketika proses untuk melucutkan senjata 40,000 pejuang MILF  telah berterusan.

Pegawai kerajaan dan bekas pemberontak yang sekarang mengetuai kerajaan peralihan di Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Islam telah menyuarakan kebimbangan mengenai pertempuran terbaru itu.

Penasihat damai presiden dan bekas ketua tentera Carlito Galvez menyatakan beliau berasa “sangat bimbang” dan beberapa usaha sedang dijalankan atas dasar untuk mencegah ketegangan.

“Kita tidak boleh membenarkan insiden terbaru ini di Basilan menafikan keuntungan utama yang kita perolehi sepanjang tahun,” kata Galvez dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter kelmarin.

Ketua perunding MILF Mohagher Iqbal menyifatkan ketegangan sebagai “kejadian malang” dan menyeru penghentian segera pertempuran bagi mencegah situasi menjadi “semakin buruk”.

Pihak tentera menyatakan pertempuran meletus selepas anggota tentera dan pegawai tempatan bersemuka dengan sekumpulan anggota bersenjata MILF yang dilihat memasuki perkampungan Ulitan yang bertentangan dengan perjanjian damai.

Brigadier Jeneral Domingo Gobway berkata seorang pemberontak MILF telah menembak ke arah anggota tentera, mencetuskan pertempuran.

Sekurang-kurangnya tiga orang dan empat pemberontak terbunuh, menurut jumlah berasingan yang disediakan oleh pihak tentera dan MILF. 

Seramai 14 anggota tentera dan tiga pemberontak tercedera.

Pertempuran berterusan kelmarin, kata Gobway.

Pertempuran sebegitu antara pihak tentera dan MILF adalah jarang berlaku sejak perjanjian damai ditandatangani, kata Georgi Engelbrecht, penganalisis kanan bagi kumpulan pemerhati damai, Kumpulan Krisis Antarabangsa, yang berpusat di Brussels.

Insiden paling berdarah adalah pada 2015 apabila 44 anggota komando polis dibunuh oleh pemberontak Islam, termasuk MILF, ketika serbuan antikeganasan di pekan selatan Mamasapano. — AFP
 

Advertisement