Anda di sini

Program Sahabat Maritim PETRONAS manfaatkan lebih 3,500 penduduk kampung

Advertisement
 Program Sahabat Maritim 2022 anjuran bersama APMM dan Petronas Carigali Sdn Bhd — Sarawak Asset (Ska) diadakan di Kampung Kuala Nyalau di Bintulu pada 18 September lalu.
KERJASAMA: Program Sahabat Maritim 2022 anjuran bersama APMM dan Petronas Carigali Sdn Bhd — Sarawak Asset (Ska) diadakan di Kampung Kuala Nyalau di Bintulu pada 18 September lalu.

KUCHING: PETRONAS menerusi program Sahabat Maritim telah menjalankan siri inisiatif khidmat masyarakat di Sarawak, Sabah dan Terengganu yang memanfaatkan lebih 3,500 penduduk kampung antara Ogos dan September lalu.

Setiap inisiatif yang dilaksanakan disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat yang meliputi aspek kesedaran keselamatan, aktiviti pendidikan serta sumbangan bekalan asas.

Di Sarawak, PETRONAS bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, bagi meningkatkan keselamatan dan kualiti hidup masyarakat nelayan di Kampung Piasau Utara di Miri.

Program Sahabat Maritim PETRONAS manfaatkan lebih 3,500 penduduk kampung
Program Sahabat Maritim PETRONAS manfaatkan lebih 3,500 penduduk kampung

Penduduk kampung berkenaan kini mempunyai balai raya yang baru diubah suai, dilengkapi perabot baharu dan sistem siar raya mudah alih yang boleh digunakan oleh penduduk setempat. Selain itu, papan tanda baharu berhampiran pesisiran pantai juga dibina untuk memupuk budaya amalan maritim selamat bagi jangka masa panjang.

Pengurus Besar, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) - Sarawak Asset, Bolhi Maskawi, yang menghadiri Program Sahabat Maritim 2022 di Kampung Piasau Utara Miri pada 13 Ogos lalu, berkata dalam ucapannya yang PETRONAS telah merancang beberapa sesi pertemuan sedemikian di Miri dan Bintulu yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara agensi dan komuniti nelayan.

Menurutnya, usaha berkenaan turut bertujuan meningkatkan kesedaran dan pendedahan mengenai operasi mencari dan menyelamat atau ‘Preventive Search and Rescue’ serta bahaya pencerobohan dalam 500 meter radius keselamatan di sekitar operasi luar pesisir pantai oleh PETRONAS.

 Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak turut diadakan.
MENGASAH KREATIVITI: Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak turut diadakan.

“Sebagai organisasi yang menitikberatkan aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) dalam operasi seharian, program ini adalah sejajar dengan ‘tagline HSE’ kami iaitu “Everybody Goes Home Safely” atau “Setiap individu pulang ke rumah dengan selamat,” ujar beliau semasa berucap pada program tersebut.

Sama seperti di Miri, PETRONAS turut membina papan tanda keselamatan untuk penduduk Kampung Kuala Nyalau di Bintulu.

Malah, kemudahan komuniti yang uzur di kampung itu turut dibaik pulih semasa program tiga hari yang dijalankan bersama rakan program komuniti, APMM Bintulu dan Press Metal Bintulu.

Pengurus Besar Kanan, PCSB - Sarawak Asset, Anuar Ismail, yang menghadiri program itu di Kampung Kuala Nyalau, berkata selain berganding bahu dalam aktiviti gotong-royong, terdapat juga sukaneka dan taklimat keselamatan yang diadakan di kampung itu pada 16 sehingga 18 September lalu.

“Pihak PETRONAS juga menaik taraf surau Kampung Kuala Nyalau bagi menyediakan ruang ibadat yang lebih selesa untuk penduduk kampung.

 Program gotong-royong membersihkan sekitar kawasan kampung turut mendapat penglibatan penduduk.
BERSIH: Program gotong-royong membersihkan sekitar kawasan kampung turut mendapat penglibatan penduduk.

“Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kumpulan Press Metal Sdn Bhd selaku rakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS kali ini.

“Pihak Press Metal telah melengkapi surau dengan karpet-karpet baharu dan pendingin hawa bagi ruang yang telah dinaik taraf oleh pihak PETRONAS.

“Selain itu, pihak PETRONAS dan APMM turut menyediakan dan memaparkan notis-notis keselamatan untuk persediaan ke laut berhampiran jeti kampung sebagai peringatan untuk semua,” ujarnya ketika berucap pada program tersebut.

Program Sahabat Maritim di Bintulu pada tahun ini amat menarik kerana dianjurkan bersempena dengan aktiviti tahunan Hari Makan Tahun yang disambut oleh kaum Kadayan di sini yang disertai kira-kira 2,000 penduduk Kampung Kuala Nyalau dan dua kampung sekitarnya.

Hari Makan Tahun merupakan majlis kesyukuran bagi meraikan hasil tuaian padi setiap tahun.

Di samping itu, wakil pertubuhan dan penduduk kampung di Bintulu turut menyertai pelbagai aktiviti seperti pembersihan pantai, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta aktiviti kebudayaan.

 Aktiviti sukan rakyat turut menarik perhatian peserta program.
SIHAT: Aktiviti sukan rakyat turut menarik perhatian peserta program.

Sementara itu di Sabah, PETRONAS dengan kerjasama rakan kongsinya, SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEAH) menyerahkan jaket keselamatan dan beg catuan makanan kepada 200 nelayan di Pulau Mantanani.

Usaha ini melengkapkan inisiatif Sahabat Maritim di Pulau Gaya awal tahun ini dengan PETRONAS menyumbang lebih 20 peranti agregat ikan bernilai lebih RM5,000 dan catuan makanan bernilai lebih RM6,500.

Pengurus (Kecemasan dan Pengurusan Krisis HSE) Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS, Khairul Azahar M Mahadi pada program di Pulau Mantanani berkata, pihak PETRONAS amat berbesar hati dengan kesudian pihak pengurusan SEA Hibiscus pada penganjuran program kali ini serta berbesar hati untuk memberikan perkongsian berkenaan ancaman yang dihadapi akibat pencerobohan ke kawasan pelantar minyak.

“PETRONAS, akan terus membantu masyarakat khususnya komuniti nelayan kerana komuniti ini merupakan penduduk yang tinggal paling hampir dengan kawasan operasi PETRONAS di pelantar minyak. Ia juga menjadi satu keperluan bagi pihak PETRONAS untuk terus menyumbang dalam meningkatkan ekonomi komuniti di negeri Sabah ini,” katanya.

Sementara itu, 70 pelajar sekolah rendah dari Sekolah Kebangsaan Mantanani telah menunjukkan minat mereka dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui program setengah hari bersama Petrosains.

Pelajar yang mengambil bahagian mendedahkan bahawa aktiviti seperti inovasi pemikiran reka bentuk, telah memupuk kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis.

Mereka juga diberi peluang untuk mencuba inovasi melalui penciptaan prototaip dan latihan pendigitalan.

Selain itu, Petrosains turut memperkenalkan kepada pelajar kepentingan mengurangkan jejak karbon dan kesedaran tentang keselamatan memancing.

Sementara itu di Terengganu pula, PETRONAS dan APMM mengadakan dialog terbuka “Sembang Teh Tarik” sebagai usaha untuk mendekati komuniti maritim tempatan di Pulau Duyong.

Sesi ‘Sembang Teh Tarik’ itu memainkan peranan penting sebagai saluran yang kondusif untuk komuniti marin Pulau Duyong bagi mengetengahkan kebimbangan dan cabaran dalam mengekalkan mata pencarian memancing mereka.

Malah, program seumpama itu membolehkan syarikat minyak dan gas nasional itu untuk lebih memahami dan dapat menangani masalah masyarakat dengan lebih berkesan.

PETRONAS kini sedang meninjau sumbangan tambahan peralatan memancing untuk memacu ekonomi pulau itu dan menilai kebolehlaksanaan memasang terumbu tiruan daripada bot karam di kawasan itu.

Pada awal tahun ini, PETRONAS telah memasang tiga terumbu seperti itu di Pulau Kapas, dengan kerjasama APMM untuk menyediakan tempat pembiakan ikan dan kawasan penangkapan ikan alternatif untuk komuniti nelayan.

Melalui inisiatif Sahabat Maritim, PETRONAS komited dalam memastikan standard keselamatan dan kesihatan tertinggi dalam melindungi masyarakat setempat, keluarga mereka serta alam sekitar.

Advertisement