Anda di sini

Kota Samarahan bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan

Advertisement
Abang Johari semas menyempurnakan Majlis Ulang Tahun Ke-6 MPKS di Hotel Hilton di sini, malam Jumaat. Turut kelihatan, Karim, Peter, Awla. - Gambar oleh Chimon Upon
Abang Johari semas menyempurnakan Majlis Ulang Tahun Ke-6 MPKS di Hotel Hilton di sini, malam Jumaat. Turut kelihatan, Karim, Peter, Awla. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Kota Samarahan bakal menjadi pemacu terhadap pertumbuhan ekonomi selain menyediakan peluang pekerjaan menerusi pelaksanaan pelbagai projek oleh kerajaan pada masa ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, disebabkan itu Kota Samarahan menjadi tumpuan masyarakat sehingga kawasan ini berdepan situasi kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, pembangunan yang pesat di Kota Samarahan antara punca berlakunya kesesakan yang teruk seperti yang berlaku hari ini.

"Pelaksanaan projek lampu isyarat itu sebagai langkah sementara untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

"Ini kerana populasi penduduk kian meningkat berikutan penambahan pembinaan projek perumahan selain pembinaan bangunan dan institusi yang strategik di Kota Samarahan," katanya pada Majlis Ulang Tahun Ke-6 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Hotel Hilton di sini, malam Jumaat.

Abang Johari menambah, pembinaan pusat rawatan kesihatan di Kota Samarahan juga akan membawa kepada pertambahan penduduk.

Ini kerana, katanya keadaan ini memerlukan saintis dan pakar untuk datang ke Kota Samarahan.

"Kawasan Samarahan akan menerima banyak pakar serta pekerjaan bergaji tinggi di kawasan sekitarnya dan mereka akan membeli rumah yang kita bina.

"Oleh itu, kita memerlukan perancangan untuk melaksanakan jalan di kawasan yang mengalami kesesakan yang teruk di sepanjang jalan utama.

"(Perancangan) jalan ini (Kota Samarahan) akan ke kawasan Tanjung Bako, lalu ke jambatan baharu di Sejingkat dan terus ke kawasan Petra Jaya," jelasnya sambil menambah, kerajaan juga akan membina pelabuhan baharu di Tanjung Bako yang akan dihubungi menerusi jalan pesisir.

Mengulas lanjut, ini merupakan limpahan pembangunan yang akan berlaku sampai ke Kota Samarahan dalam tempoh tujuh tahun hingga 2030.

"Kita boleh laksanakan ini menerusi perancangan masa panjang yang kita ada di antara Kuching dan Kota Samarahan," tambahnya.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Pengerusi MPKS Dato Peter Minos dan tetamu jemputan yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement