Anda di sini

Kerajaan sentiasa berhasrat lahir usahawan berjaya: Awg Tengah

Advertisement
Mohamad Razi dan tetamu kehormat lain merakamkan kenangan bersama para penerima bantuan.
Mohamad Razi dan tetamu kehormat lain merakamkan kenangan bersama para penerima bantuan.

SARATOK: Kerajaan Sarawak sentiasa berhasrat untuk melahirkan usahawan tempatan yang berjaya, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, penyediaan infrastruktur perniagaan yang lengkap dan konduksif amat membantu memastikan kelangsungan ekosistem keusahawanan.

"Usaha formalisasi perniagaan merupakan salah satu pemangkin untuk Sarawak beralih ke arah landskap perniagaan digital. 

"Dengan mendaftarkan perniagaan, usahawan kita akan berpeluang untuk menikmati bantuan daripada pihak kerajaan mahupun insitusi kewangan dan dapat meneroka prospek perniagaan lain.

"Setakat ini, lebih 2,200 usahawan telah dibantu dan berjaya mendaftarkan perniagaan mereka melalui program 'Jum Regista Bisnes'," ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohammad Razi Sitam pada majlis perasmian program 'Jum Regista Bisnes' di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Min Syn dekat sini, hari ini.

Seramai 200 peserta menghadiri program tesebut yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Pejabat Daerah Saratok.

Menurut Awang Tengah, jika usahawan kekal komited untuk memajukan diri dan sentiasa mahu memperbaiki produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, mereka diyakini mampu menembusi pasaran global. 

Tambahnya, bagi membolehkan para usahawan untuk terus bergiat aktif dan berdaya saing, komitmen berterusan daripada usahawan sendiri adalah penting.

"Langkah pertama ke arah ini adalah dengan mendaftarkan perniagaan mereka dan menyeradi perkara ini, MINTRED telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program 'Jum Regista Bisnes' agar para usahawan informal terutamanya di luar bandar dapat dibantu untuk untuk memformalisasi perniagaan mereka," ujar Awang Tengah.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian bantuan kepada para peserta program.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik, ADUN Kalaka Mohamad Duri dan Pegawai Daerah Saratok Haron Mahidi.
 

  • oleh
  • Advertisement