Anda di sini

Industri penerbangan kembali pulih seperti sebelum pandemik

Advertisement
Norazman (dua kanan) menyampaikan cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan kepada Henry (tengah).
Norazman (dua kanan) menyampaikan cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan kepada Henry (tengah).

LAWAS: Peralihan ke fasa pemulihan yang membolehkan banyak sektor industri dibuka semula termasuk pembukaan sempadan negara menjadikan industri penerbangan negara kini kembali pulih dan rancak seperti sebelum berlakunya COVID-19. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia) Pihak Berkuasa Penerbangsaan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Norazman Mahmud berkata, CAAM yang merupakan badan kawal selia sektor penerbangan negara juga mengambil langkah ke hadapan seiring dengan perancangan serta hala tuju kerajaan bagi memastikan sektor penerbangan kembali normal. 

“Kesan pemulihan daripada pandemik ini amat besar, malah semua pihak khususnya dalam sektor penerbangan kini giat melaksanakan usaha untuk menjana semula ekonomi yang terganggu sepanjang tempoh COVID-19 lalu. 

“Ini demi memastikan tenaga kerja mahir sektor penerbangan yang terjejas sebelum ini dapat kembali bekerja, merancakkan kedatangan pelancong melalui pengangkutan udara yang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan semula ekonomi negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Program Kempen Kesedaran Budaya Keselamatan Penerbangan di Padang Terbang Lawas, di sini pada Sabtu yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong. 

Dalam pada itu, Norazman berkata, pelbagai pihak kini tidak berdiam diri malah telah merancang program-program yang bukan hanya memberi tumpuan kepada usaha menjana ekonomi tetapi juga program-program berkaitan pembangunan modal insan dan kempen kesedaran. 

“Program ini bertujuan untuk memupuk dan menanam budaya keselamatan penerbangan ke atas masyarakat setempat serta pelajar sekolah. 

“Ia selari dengan komitmen kerajaan ke arah menjadikan sektor pengangkutan udara lebih selamat dan terjamin serta mematuhi keperluan semasa Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta menjadikan sektor penerbangan Malaysia setaraf dengan negara-negara maju yang lain,” ujarnya. 

Beliau menambah, program tersebut melibatkan penyertaan 384 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan CAAM, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Sarawak, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), MASwings Sdn Bhd, pelajar-pelajar sekolah sekitar Padang Terbang Lawas dan masyarakat setempat.

“Besar harapan CAAM agar penganjuran program kesedaran ini tidak terhenti setakat di sini sahaja, malah segala manfaat dan ilmu yang diperolehi dapat dikongsi kepada rakan-rakan, jiran dan ahli keluarga apabila pulang ke rumah. 

“Semoga ini juga dapat menarik minat generasi muda untuk mendalami ilmu dalam sektor ini yang sangat luas dan tidak hanya tertumpu kepada kerjaya sebagai juruterbang sahaja kerana terdapat banyak lagi kerjaya yang berkaitan dengan dunia penerbangan,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Udara Kementerian Pengangkutan Malaysia Mohamad Radzuan Mazlan, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pemangku Pengurus Besar Kanan MAHB Kamaruzzaman Razali.
 

  • oleh
  • Advertisement