Anda di sini

Tumbuk kenalan wanita, juruteknik didenda RM1,000

Advertisement
Tertuduh (tiga kanan) diiring polis semasa keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman hari ini.
Tertuduh (tiga kanan) diiring polis semasa keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman hari ini.

KUCHING: Seorang juruteknik dijatuhi hukuman denda RM1,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan kenalan wanitanya dengan cara menumbuk mangsa di bahagian mata.

Hakim Maris Agan memerintahkan tertuduh, Zuradi Arabi, 28, untuk dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Lelaki dari Kampung Sungai Lada Pedas, Gita Laut itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa wanita berusia 20 tahun dan seterusnya dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 7 November lalu, sekitar jam 3.10 pagi di bawah sebuah hostel terletak di Jalan Song Thian Cheok di sini. 

Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama empat rakannya sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah bistro di situ sebelum tertuduh memarahi mangsa.

Tertuduh marah susulan mangsa menegur rakannya yang mabuk untuk naik ke hostel.

Akibat tidak berpuas hati, tertuduh mahu memukul mangsa menggunakan sebatang kayu, namun dihalang oleh rakan-rakan lain. 

Tertuduh bagaimanapun terus menumbuk bahagian mata sebelah kiri, menolak badan dan menggenggam tangan kanan mangsa.

Selain itu, tertuduh juga membaling telefon bimbit milik mangsa ke jalan raya. 

Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami lebam di bahagian mata kiri dan kesan biru di tangan kanan. 

Khuatir akan keselamatan diri, mangsa membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 8 November lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement