Anda di sini

Pengurus besar didakwa pengubahan wang haram hampir RM670,000

Advertisement
 

SHAH ALAM: Seorang pengurus besar di sebuah syarikat import dan eksport mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM670,000, tahun lepas.

Mohd Fami Sharin, 48, didakwa telah memindahkan wang berjumlah RM669,975.22 daripada akaun semasa Maybank milik syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd ke dalam tiga akaun berbeza iaitu dua akaun semasa syarikat lain dan satu akaun simpanan milik rakan lelakinya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Ampang Point, Ampang antara 18 Mac dan 19 September 2021, mengikut perenggan 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi mencadangkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan dia kini tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Helina Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 14 November ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Advertisement