Anda di sini

Lelaki merokok di kabin pesawat didenda RM10,000

Advertisement
 Antara barangan yang dirampas daripada tertuduh di LTAKK.
RAMPAS: Antara barangan yang dirampas daripada tertuduh di LTAKK.

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki merokok di kabin pesawat membawa padah selepas didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini 10 November lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berumur 32 tahun dan beralamat di Temerloh Pahang itu menaiki pesawat tambang rendah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada 6 November lalu.

Semasa berada di dalam pesawat itu, anak kapal mengesan asap rokok dan sebaik siasatan dijalankan mendapati tertuduh bertindak menghisap rokok dalam kabin pesawat.

Semasa kejadian, tertuduh tidak mengendahkan amaran yang sudah diberikan anak kapal berikutan berada dalam pengaruh alkohol.

Tertuduh yang datang ke Kota Kinabalu untuk melancong itu mengaku membeli sebotol minuman keras di KLIA 2 sebelum menaiki pesawat dan menghabiskan alkohol itu semasa berada di dalam pesawat berkenaan.

Sebaik tiba di LTAKK, tertuduh kemudiannya dibawa ke Balai Polis LTAKK untuk tindakan selanjutnya.

Untuk perbuatan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 100 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

  • oleh
  • Advertisement