Anda di sini

Kes penderaan seksual kanak-kanak:Lelaki Australia dipenjara 129 tahun

Advertisement

Mangsa termasuk kanak-kanak Filipina berusia seawal 18 bulan: Pendakwa raya

 Gambar fail pada 16 Jun, 2015 menunjukkan Scully (kanan) digari bersama seorang banduan lain ketika meninggalkan mahkamah di bandar Cagayan de Oro, Mindanao. — Gambar AFP
DIPENJARA: Gambar fail pada 16 Jun, 2015 menunjukkan Scully (kanan) digari bersama seorang banduan lain ketika meninggalkan mahkamah di bandar Cagayan de Oro, Mindanao. — Gambar AFP

MANILA: Seorang lelaki Australia dijatuhi hukuman penjara 129 tahun di Filipina dalam kes penderaan seksual kanak-kanak yang melibatkan mangsa yang berusia seawal 18 bulan, kata seorang pendakwa raya kelmarin.

Ini merupakan sabitan kedua bagi Peter Gerard Scully, yang sudah menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas pertuduhan melibatkan rogol dan pemerdagangan kanak-kanak perempuan.

Filipina telah menjadi tempat tumpuan global untuk menjalankan eksploitasi seks kanak-kanak, dibantu oleh kemiskinan, kefasihan bahasa Inggeris dan jaringan Internet yang luas di negara itu.

“Saya harap ini menghantar mesej yang sangat kuat kepada semua pendera, semua pemerdagang manusia, bahawa jenayah tidak berbaloi,” kata Merlynn Barola-Uy, pendakwa raya di bandar Cagayan de Oro.

Mahkamah Cagayan de Oro menjatuhkan hukuman itu pada 3 November selepas Scully dan tiga tertuduh lain menandatangani perjanjian rundingan pengakuan.

Mereka telah didakwa atas 60 kesalahan, termasuk pemerdagangan, pornografi kanak-kanak, penderaan kanak-kanak dan rogol.

Teman wanita Scully, Lovely Margallo, dijatuhi hukuman penjara 126 tahun. Dua lagi dikenakan hukuman lebih sembilan tahun.

Mangsa dan keluarga mereka telah menerima syarat perjanjian dan menganggapnya sebagai “kemenangan manis”, menurut satu kenyataan yang disiarkan di halaman Facebook pejabat pendakwaan wilayah.

“Mereka semua mahu menutup fasa gelap kehidupan mereka ini dan melupakannya,” kata kenyataan itu.

Sembilan mangsa dalam dua kumpulan pertuduhan menentang Scully.

Sabitan 3 November melibatkan tujuh mangsa, termasuk seorang bayi perempuan berusia 18 bulan dan seorang kanak-kanak yang mayatnya ditemui tertimbus di bawah lantai rumah yang disewa oleh Scully, kata Barola-Uy.

“Ini merupakan kemenangan besar, bukan sahaja untuk kami, pendakwa raya di Jabatan Kehakiman, namun yang lebih penting ini merupakan kemenangan besar untuk mangsa yang terselamat,” katanya.

Barola-Uy berkata mangsa paling muda kini belajar dalam darjah dua di sekolah manakala yang lain sudah dewasa.

Pejuang hak kanak-kanak yang berpangkalan di Filipina, Father Shay Cullen berkata, sabitan itu menunjukkan kepada “dunia bahawa keadilan boleh ditegakkan” di negara Asia Tenggara itu.

Namun demikian, agensi Filipina yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah seks siber kekurangan tenaga kerja.

“Hanya ada 10 pegawai polis yang menyiasat jenayah seks siber di Filipina – hanya 10 untuk populasi 110 juta orang,” kata Cullen kepada AFP.

Scully ditangkap pada 2015 di Malaybalay, sebuah bandar di selatan Filipina, selepas melarikan diri dari Australia pada 2011.

Dia telah datang ke Filipina untuk melarikan diri daripada tuduhan penipuan di negara asalnya.

Dia kemudiannya menubuhkan perniagaan seks siber, merakam gadis remaja yang berasal daripada keluarga miskin ketika dia melakukan hubungan seks dengan mereka atau menggunakan alat mainan seks, kata penyiasat sebelum ini.

Video tersebut dijual kepada pelanggan di Jerman, Amerika Syarikat dan Brazil.

Barola-Uy berkata Scully dan teman wanitanya telah melakukan “penderaan yang melampau” kepada mangsa mereka.

“Ia sangat grafik, ia sangat kejam,” katanya.

Kebanyakan orang yang membayar untuk menonton video seks jenis ini berada di luar negara, dan beribu-ribu kanak-kanak selalunya didera dengan persetujuan ibu bapa mereka, kata pihak berkuasa. 

Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata pada 2021 bahawa Filipina ialah salah satu sumber utama global untuk bahan penderaan seks kanak-kanak. — AFP 
 

Advertisement