Anda di sini

Wanita mengaku terlibat judi dalam talian didenda RM10,000

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita berusia 27 tahun dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah mengaku bersalah terlibat aktiviti perjudian dalam talian. 

Tertuduh, Conellia Thomas dari Simunjan, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibacakan terhadapnya di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Sandy Yvette Freddy.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Tertuduh didakwa mengendalikan mesin judi iaitu sebuah telefon bimbit dalam satu kejadian pada 20 Julai lalu, di sebuah kafe di Jalan Wan Alwi di sini, sekitar jam 11.20 pagi.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh ditangkap oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang membuat serbuan di kafe tersebut pada hari kejadian susulan disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian menggunakan telefon.

Antara barangan yang dirampas adalah sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM130.

Laporan pakar judi juga mengesahkan bahawa barang kes yang dirampas iaitu telefon bimbit merupakan sebuah mesin perjudian. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dilaporkan membayar denda tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
 

  • oleh
  • Advertisement