Anda di sini

Korea Utara sangkal tuduhan bekal senjata kepada Rusia 

Advertisement
Gambar gabungan diambil antara 2 November dan 5 November lepas yang disiarkan pada 7 November oleh agensi berita rasmi Korea Utara (KCNA) menunjukkan beberapa ujian peluru berpandu yang dilakukan tentera Korea Utara di lokasi yang tidak diketahui. — Gambar AFP
Gambar gabungan diambil antara 2 November dan 5 November lepas yang disiarkan pada 7 November oleh agensi berita rasmi Korea Utara (KCNA) menunjukkan beberapa ujian peluru berpandu yang dilakukan tentera Korea Utara di lokasi yang tidak diketahui. — Gambar AFP


Dakwaan AS itu muncul tatkala keadaan semakin tegang susulan satu siri ujian peluru berpandu Korea Utara pada minggu lepas
SEOUL: Korea Utara semalam mengecam dakwaan oleh Amerika Syarikat (AS) bahawa Pyongyang membekalkan peluru artileri kepada Moscow bagi peperangannya di Ukraine sebagai tidak berasas, lapor media rasmi KCNA.

Dakwaan itu muncul ketika keadaan semakin tegang di semenanjung Korea selepas satu siri ujian peluru berpandu Korea Utara pada minggu lepas, termasuk peluru berpandu balistik antara benua, ketika AS dan Korea Selatan sedang mengadakan latihan tentera udara paling besar.

Kenyataan semalam menyangkal tuduhan pada minggu lepas oleh jurucakap keselamatan negara Rumah Putih John Kirby, yang mendakwa artileri dari Korea Utara ke Rusia telah muncul diselindungi di sebalik penghantaran ke Timur Tengah atau Afrika.

“Baru-baru ini, AS bertegas menyebarkan khabar angin tidak berasas mengenai urus niaga senjata antara DPRK dan Rusia,” kata timbalan pengarah bagi hal ehwal tentera luar negara di bawah Kementerian Pertahanan Negara Korea Utara dalam satu kenyataan, lapor KCNA.

Kenyataan itu menyatakan Korea Utara melihat khabar angin tersebut sebagai sebahagian daripada cubaan terasing AS untuk menjejaskan imej DPRK di arena antarabangsa,” katanya, menggunakan nama singkatan Korea Utara.

“Sekali lagi kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak pernah mempunyai urusan senjata dengan Rusia dan kami tiada rancangan untuk berbuat sedemikian pada masa akan datang,” tambah kenyataan itu.

Kirby berkata pegawai AS tidak tahu sama ada Rusia telah benar-benar menerima senjata tersebut, namun sedang cuba untuk mengawasi penghantarannya. — AFP

Advertisement