Anda di sini

Gadis Hazara buta sebelah mata kerana serangan bom nekad cemerlang dalam peperiksaan 

Advertisement
Fatima Amiri menunjukkan gambar lamanya pada telefon bimbit semasa temu bual dengan AFP di rumahnya di bandar Dasht-e-Barchi di Kabul kelmarin. — Gambar AFP
Fatima Amiri menunjukkan gambar lamanya pada telefon bimbit semasa temu bual dengan AFP di rumahnya di bandar Dasht-e-Barchi di Kabul kelmarin. — Gambar AFP

KABUL: Sebulan selepas kehilangan sebelah matanya dalam serangan bom nekad ke atas akademinya, seorang gadis muda Hazara telah menamatkan pengajian sebagai antara calon cemerlang dalam peperiksaan kemasukan ke universiti Afghanistan yang sukar.

Keputusan yang dikeluarkan pada hujung minggu menunjukkan Fatima Amiri memprolehi 313 mata daripada kemungkinan 360 dalam “Kankor”, satu ujian yang sangat kompetitif dengan lebih 100,000 pelajar mendudukinya pada tahun ini untuk mendapatkan tempat dalam universiti terpilih.

Pelajar cemerlang memperoleh 355, namun apa-apa keputusan yang melebihi 300 dapat meletakkan pelajar dalam kategori yang sangat tinggi.

“Saya berasa sangat gembira kerana berjaya dalam bidang pilihan saya,” kata Fatima, yang ingin untuk mempelajari sains komputer.

“Namun saya tidak berpuas hati dengan skor saya. Saya menyasarkan lebih daripada itu,” katanya kepada AFP kelmarin.

Ia merupakan satu pencapaian yang sangat berani bagi gadis berusia 17 tahun itu, yang mengalami kecederaan teruk dalam serangan 30 September ke atas sebuah kolej swasta di mana beberapa pemuda dan wanita telah bersesak-sesak bagi Kankor.

Seorang pengebom nekad memasuki dewan dan berjalan ke depan, di mana kanak-kanak perempuan dan wanita muda telah diasingkan, kemudian meletupkan sebiji bom yang membunuh sekurang-kurangnya 54 orang.

Kebanyakan mereka yang berada di dewan adalah dari komuniti minoriti Hazara di Afghanistan, Syiah di sebuah negara majoriti Sunnah.

Komuniti itu telah kerap menjadi sasaran serangan oleh kumpulan Daesh (IS), yang menganggap mereka sebagai penganut ajaran sesat.

Namun pendidikan bagi gadis seperti Fatima adalah sangat sukar sekali pun tanpa ancaman serangan dari IS.

Taliban telah menutup sekolah menengah untuk kanak-kanak perempuan di kebanyakan kawasan di Afghanistan, namun beberapa kolej swasta masih beroperasi.

Fatima sedang beransur pulih daripada kecederaannya ketika dia menduduki ujian.

“Saya berasa gembira kerana dapat menduduki peperiksaan, namun kesakitan saya tidak membenarkan saya untuk berasa gembira,” katanya, sambil menitiskan air mata. — AFP
 

Advertisement