Anda di sini

Dua lelaki mengaku bersalah seludup migran Indonesia dipenjara dua tahun

Advertisement
Chan (kiri) semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini. 
Chan (kiri) semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini. 

KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap dua lelaki yang masing-masing melakukan kesalahan menyeludup warga Indonesia pada September 2022. 

Kedua-dua tertuduh, Chan Chin Ing, 37, dan Even Walter Melin, 26, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan, dalam prosiding berasingan. 

Pertuduhan terhadap tukang kimpal (Chan) dan buruh (Even) itu masing-masing dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. 

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali. 

Even (kiri) yang diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum. 
Even (kiri) yang diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum. 

Dalam kes pertama, Chan sebagai pemandu kenderaan sebuah kereta sedan didakwa terlibat dalam kesalahan penyeludupan 10 migran Indonesia.

Chan didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar jam 11.50 malam pada 26 September lalu, di tepi jalan Ladang Tetangga Akrab, Jalan Serian/Tebedu, di Serian.

Sementara itu bagi kes kedua, Even sebagai pemandu kenderaan sebuah kereta MPV didakwa terlibat dengan kesalahan penyeludupan enam migran Indonesia pada 28 September lalu, sekitar jam 5 petang di kawasan San Demam, Lubok Antu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis yang melakukan Ops Batas menahan Chan di tempat kejadian susulan dia berada dalam keadaan mencurigakan. 

Sementara itu, pada hari berlainan, Even yang turut memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan ditahan oleh sepasukan polis yang melakukan Rondaan Cegah Jenayah di jalan utama Lubok Antu, Sri Aman.

Pemeriksaan dilakukan dan siasatan mendapati kesemua migran dibawa oleh Chan dan Even diketuai oleh seorang ejen (yang disyaki warganegara Indonesia dan masih bebas) untuk memasuki Sarawak, melalui laluan haram.

Migran tersebut kemudian diarahkan menaiki kenderaan yang dipandu oleh Chan dan Even, sebaik tiba di Malaysia pada hari berasingan. 

Selain itu, hasil carian yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen di Malaysia mendedahkan bahawa kesemua migran yang diseludup tidak mempunyai rekod kemasukan terbaharu ke Malaysia.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dijalankan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie di hadapan Hakim Datuk Zaleha Rose Pandin.

Advertisement