Anda di sini

Buruh curi RM50 dari tabung masjid dipenjara sehari, denda RM1,000

Advertisement
 

KUCHING: Gara-gara mencuri duit RM50 dari tabung masjid, seorang buruh lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini. 

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Sandy Yvette Freddy memerintahkan tertuduh, Mohamad Affendee Roslie, 33, untuk dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh mengaku bersalah sebaik didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda. 

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar jam 5 petang, 5 November lalu di sebuah masjid di Kampung Tabuan Hilir Selipar Putus, di sini. 

Mengikut fakta kes, tertuduh dari Kampung Lintang Baru, Batu 28 itu ditahan oleh pengadu iaitu ahli jawatankuasa (AJK) masjid dengan bantuan orang kampung susulan dia didapati mencuri duit dari tabung masjid. 

Sebelum kejadian berlaku juga, pengadu telah memerhati kelakuan tertuduh yang mencurigakan selama lebih kurang 10 minit. 

Tertuduh kemudian diserahkan kepada polis yang melakukan tugas ronda cegah jenayah sekitar jam 5.20 petang.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mencungkil tabung masjid menggunakan sebatang lidi penyapu yang dibengkokkan pada hujungnya.

Difahamkan juga, tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement