Anda di sini

Mengintai Realiti dan Persepsi dalam Pemikiran Rakawi Yusuf Lewat Novel Melati Sarawak

Advertisement
 

Oleh Mohidin Haji Malek

 

Pendahuluan
Apabila membaca, menelaah dan menekuni, di samping mencerna, menghadam dan menaakul teks novel Melati Sarawak karya Muhammad Rakawi Yusuf, penulis lebih teruja untuk melihat sudut pemikiran pengarangnya. Walaupun hal yang sedemikian pernah diutarakan oleh Nordi Achie dan Jais Sahok lewat makalah masing-masing sebelum ini, namun penulis cuba merungkai beberapa persoalan yang timbul dalam fikiran sepanjang proses penekunan berkenaan. 
      Apa-apa yang diutarakan pemakalah mungkin berbeza sedikit daripada yang diperkatakan atau diutarakan oleh kedua-dua individu yang wibawa dan ketokohan mereka tidak dapat dipertikaikan. Nordi Achie, dalam makalahnya mengkategorikan pemikiran Muhammad Rakawi kepada dua, iaitu major dan minor. Sudut major menjurus kepada pemikiran terhadap gendang Melayu itu sendiri. Manakala sudut minor terlaras terhadap masalah dan persoalan masyarakat, khususnya orang Melayu. Jais Sahok pula melihat dari aspek kritikan Muhammad Rakawi terhadap moraliti watak, khususnya watak Melayu, iaitu perempuan Melayu yang melambangkan penjajahan menyeluruh orang kulit putih terhadap orang dan masyarakat Melayu. Pandangan kedua-dua tokoh ini sememangnya benar dan berasas. Hal yang sedemikianlah mesej yang disampaikan Muhammad Rakawi kepada pembaca yang sudi menyantuni karya beliau.
    Untuk menyelami pemikiran Muhammad Rakawi, sewajarnya dikenali siapa Muhammad Rakawi Yusuf. Tidak banyak maklumat yang mampu diperoleh tentang individu yang sememangnya diperakui sebagai hebat andai melihat dari sisi latar belakang masa novel ini ditulis. Sejak lahirnya novel pertama di Sarawak, iaitu Hikayat Panglima Nikosa yang ditulis oleh Ahmad Syawal Abdul Hamid pada tahun 1876, tiada pengkarya dari Sarawak yang menghasilkan karya dalam genre novel. Tempoh 56 tahun berupa selang tempoh yang amat panjang. Lantaran hal yang sedemikian itu, penerbitan novel Melati Sarawak membuka gapura harap supaya akan ramai pengkarya lain yang bakal menyusul untuk menghasilkan novel selanjutnya. Biodata ringkas yang diperoleh menyatakan bahawa beliau dilahirkan sekitar tahun 1890-an di Kampung No. 3, Jalan Muhibbah. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah St. Joseph dan Kolej Kebangsaan Sarawak dan kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Kastam. Beliau terkenal dengan panggilan ‘Master Rakawi’ kerana beliau guru silat.  
    Sebelum melihat serta menekuni dengan lebih mendalam pemikiran beliau, muluk rasanya dijelaskan beberapa takrifan yang ada kaitannya dengan skop perbicaraan makalah ini, iaitu budaya dan kearifan tempatan. Hal sedemikian itu berupa persoalan primer untuk memahami inti pati persoalan. Budaya, jika dirujuk Kamus Dewan membawa pengertian ketamadunan atau cara hidup, pemikiran dan cara berfikir. Apabila berbicara tentang budaya, kita sering terkait dengan istilah seni. Timbul persepsi bahawa budaya dan seni budaya itu merujuk perkara yang sama, sedangkan tidak. Seni berupa sesuatu hasil yang halus. Lantaran apabila dicantum, membawa pengertian kehalusan yang terkandung dalam tamadun, cara hidup serta cara berfikir. Hal yang kemudiannya menerbitkan istilah kebestarian tempatan. Sememangnya sesuatu ciptaan yang keseniannya atau kehalusannya menyerlah berupa gambaran akan kebestarian atau ketokohan pencipta atau perekanya, dan dalam konteks ini, pencipta atau pereka yang bermastautin di tempat berkenaan. Hal yang sedemikian perlu dijelaskan dan difahami.
    
Pola Pemikiran
Pola pemikiran manusia berbeza-beza. Tidak ada yang serupa. Hal yang sedemikian itu menyebabkan berlaku percanggahan pandangan yang membawa kepada polemik berpanjangan. Lantaran itu, penulis terlebih dahulu menyatakan apa-apa yang diutarakan berupa pandangan berlandaskan penaakulan peribadi yang tidak semestinya seiringan atau selari dengan pandangan khalayak pembaca. Namun, seandainya terdapat pandangan yang berbeza, penulis raikan sebagai peluasan mandala pemikiran para pengkarya Bumi Kenyalang.
    Seandainya dibuat kajian, sememangnya terdapat pelbagai teori yang bertujuan untuk memahami ciri-ciri pola pemikiran. Antaranya termasuklah Platonist, Aristotleiasm, conceptualism, associationists, behaviorialists dan computationalism. Manakala dalam konteks cara berfikir terdapat beberapa cabang, iaitu timbang tara (judgement), penaakulan (reasoning), pembentukan konsep (concept formation), musyawarah atau perbincangan (deliberation), memori berepisod (episodic memory), imaginasi (imagination) dan fikiran tanpa sedar (unconscious thoughts). Kepelbagaian disiplin pemikiran pula termasuklah antaranya phenomenology, metaphysics, cognitive psychology, developmental psychology, psychoanalysis, counterfactual thinking dan thoughts experiment. Namun, penulis tidak berhasrat untuk menautkan rencana ini dengan mana-mana teori, ciri-ciri mahupun disiplin yang disebutkan tadi. Hal sedemikian pastinya tidak dapat dirangkumi secara menyeluruh dengan keterhadan ruang penyiaran. 
    
Persoalan
Apakah yang ingin disuarakan oleh Muhammad Rakawi lewat novel ini? Persoalan itu perlu dirungkaikan terlebih dahulu. Kedua, kenapa beliau memilih ‘Melati’ sebagai perlambangan dalam novelnya, dan mengapa pula ditautkan dengan Sarawak secara keseluruhan sedangkan latar tempat peristiwa berlaku di sekitar kawasan Kuching? 
    Persoalan pertama telah dijelaskan oleh kedua-dua individu yang penulis sebut pada awal makalah. Penulis rangkumkan sebagai keruntuhan nilai moral anak muda, khususnya golongan wanita, akibat kegiatan “gendang perempuan”. Hal yang menalikan kesan rantaian terhadap orang dan masyarakat Melayu secara keseluruhannya ketika itu. Perkara ini jelas apabila melalui watak Pak Noraldin, Muhammad Rakawi memperincikan keruntuhan akhlak dan moral generasi muda akibat pergaulan bebas semasa temasya “gendang perempuan” diadakan dalam majlis-majlis keramaian tertentu. Hasrat beliau “supaya menjadi cermin kepada kaum dan bangsa yang ada mempunyai segala tabiat seperti yang ada tersebut dalam karya.” 
     Persoalan pemilihan ‘Melati’ sebagai perlambangan dijelaskan oleh Muhammad Rakawi sendiri dalam Lidah Pengarang, iaitu “mengambil sempena baik kerana bunga disukai orang banyak”, lantas “mengharapkan pembaca menyuntingnya.” Akan tetapi dari segi pemerihalannya ke atas negeri Sarawak secara umum masih boleh dipertikaikan. Hal ini kerana masih terdapat ruang pertanyaan sama ada situasi yang berlaku di Kuching yang melibatkan kegiatan gendang perempuan, turut berlaku di daerah-daerah atau bahagian-bahagian lain? Bagi penulis, tidak wajar menyamaratakan situasi seandainya pemerhatian hanya dilaraskan kepada sesuatu tempat semata-mata.  
    Selain daripada hal yang sedemikian, persoalan yang turut menggugah nurani penulis ialah istilah ‘jual kulit kambing’ yang merujuk kepada aktiviti ‘gendang perempuan’. Apakah istilah berkenaan diguna pakai secara meluas di seantero negeri Sarawak atau hanya oleh segelintir golongan yang ‘diandaikan’ sebagai “antigendang”?  Bagaimana dengan istilah ‘nopeng’ atau ‘bermukun’ yang lebih kuat pertautannya dengan aktiviti tersebut dan masih digunakan sehingga ke hari ini? Bagi penulis, istilah ‘jual kulit kambing’ membawa konotasi yang kurang menyenangkan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kulit, tidak kira kulit haiwan atau manusia, merupakan sesuatu bahagian yang memiliki nilai tersendiri. Kulit diibaratkan ‘maruah’. Lantaran itu, timbul konotasi bahawa kegiatan ‘gendang perempuan’ seakan-akan ‘penjualan maruah’, khususnya dalam kalangan wanita. Bagaimanapun, hal sedemikian terbuka untuk tafsiran masing-masing.
    Di samping itu, persoalan besar yang timbul adalah, perlukah ‘dibunuh’ suatu cabang seni budaya untuk menghapuskan keruntuhan moral, akhlak dan jati diri, ibarat kata pepatah, ‘disebabkan nyamuk seekor, habis kelambu dibakar’? Wujudkah jaminan bahawa ‘pematian’ sedemikian ini akan mampu mengembalikan kemulukan dan kesopanan peribadi anak-anak muda ketika itu? Acara bergendang itu sahajakah penyumbang utama terhadap keruntuhan akhlak yang kian parah ketika itu? Tidakkah wujud elemen-elemen lain? Seperti seni kata lagu yang berbunyi dalam media sosial kini, “Entah siapakah yang salah, ku tak tahu”. Seni budayakah atau manusia itu sendiri? Seni budayakah yang berubah atau manusiakah yang mengubah budaya dan seni budaya? Perlu penulis tegaskan sekali lagi bahawa laras pandangan perbincangan memberikan fokus kepada penyelaman pemikiran pengarang novel dan tautannya dengan budaya dan seni budaya, yang menyerlahkan kebestarian tempatan.

Gendang Melayu
Gendang Melayu telah lama bertapak di negeri ini dan berupa satu persembahan yang popular dalam sesebuah keraian seperti perkahwinan, berkhatan, bercukur rambut, kenduri doa selamat, berpindah rumah baharu, kelahiran anak atau menyambut tetamu. Dua elemen yang utama dalam kegiatan ini ialah pemain gendang yang disebut sebagai “seh gendang” dan “penandak”. Lazimnya seh gendang terdiri daripada dua orang yang bergendang di sebalik tirai kain, biasanya kain pelikat atau ‘kain tapeh’ dalam bahasa tempatan. Fungsi tirai ini adalah untuk memisahkan antara seh gendang dengan penandak. Namun, peredaran zaman menyaksikan amalan merentang kain berkenaan tidak lagi dipraktikkan kerana seh-seh gendangnya terdiri daripada wanita warga emas. Begitu juga dengan penandaknya. Walau bagaimanapun, komponen berbalas pantun atau ‘bermukun’ yang menyerikan kegiatan berkenaan masih kekal. Komponen inilah yang memberikan ‘roh’ kepada persembahan bergendang, di samping menyerlahkan kepetahan dan kebestarian seh gendang dan penandak dalam mencipta pantun secara spontan. 
    Terdapat beberapa rentak lagu dalam acara bergendang ini. Antaranya termasuklah Sayang Sarawak, Air Amboi, Indung Anak, Menyubuh, Samsudin, Selendang Mayang, Sam Payak Buah Sam Payak, Labuan, Lalala Aik Kopi dan lain-lain lagi. Dari aspek bermukun, walaupun secara umumnya pendapat ramai terlaras kepada pantun cinta dan berahi seperti yang dinyatakan dalam novel ini, namun hakikatnya terdapat juga pantun-pantun yang menerapkan nilai murni. Perkara ini dihuraikan oleh Mohammad Syawal Narawi dari Pusat Pengajian Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia dalam kertas kerjanya, “Nilai-nilai Murni dalam Bermukun dan Bergendang Masyarakat Melayu Sarawak”. Terdapat 18 nilai murni yang diterapkan lewat pantun bermukun, iaitu amanah, tanggungjawab, ikhlas, sederhana, benar, mulia, bermuafakat, bersyukur, bertoleransi, bertimbang rasa, bersatu padu, tidak mementingkan diri sendiri, tiada perasaan curiga dan syak wasangka, dan beretika.  
    Malah, menurut Abang Seruji Abang Muhi, pantun merupakan cetusan hati nurani, pemikiran, pandangan hidup dan alam serta kebijaksanaan masyarakat Melayu. Lantaran itu, wajar sekiranya komponen-komponen yang sedemikian ini diberikan pertimbangan sebaiknya oleh Muhammad Rakawi sebelum membuat rumusan bahawa kegiatan gendang perempuan perlu ‘dibunuh’ untuk mengembalikan kemulukan serta kemulusan sahsiah golongan muda ketika itu. Dalam hal yang sedemikian ini, kawalan kendiri merupakan elemen penting.  
    Berdasarkan pembacaan dan penceritaan daripada sumber yang boleh dipercayai, wujud etika atau syarat semasa acara bergendang dijalankan. Etika ini bertujuan mengelakkan sebarang kebejatan, kesumbangan atau timbulnya fitnah, khususnya bagi seh gendang dan penandak. Misalnya jarak bukaan antara rentangan kain tabir bahagian atas dan bawah adalah kira-kira 1 hingga 2 inci. Hanya sekitar 4 hingga 8 orang penandak dibenarkan di ruang tari. Jika ada orang lain yang ingin turut serta bertandak, harus secara sopan dan santun memberikan isyarat kepada penandak lain untuk memberi ruang. Istilah ‘nopeng’ yang diguna pakai terbit daripada amalan menutup sebahagian muka penari lelaki itu dengan sapu tangan atau kain pelikat.

Bahasa
Satu perkara yang menarik tentang novel ini ialah penggunaan istilah-istilah dalam bahasa Melayu Sarawak yang jarang-jarang bahkan ada antaranya tidak lagi diguna pakai oleh masyarakat Melayu Sarawak hari ini. Hal ini tentunya amat relevan bagi tujuan pemugaran dan pelestarian bahasa sukuan. Antara perkataan atau istilah berkenaan termasuklah senyampang, mahauga, tua langkir, jenak, basuh-basuh lira malam, demam unggui, sopan (supan?) tuma, tulang balung, unggang-unggit, liuk-piuk, muyas, seketub, boyan dan naik jaki. Mungkin dalam proses pengkaryaannya, Muhammad Rakawi tidak menyedari akan kerelevanan penerapan istilah-istilah berkenaan dalam pengekalan budaya berkomunikasi. Namun, hal sedemikian itu, sama ada secara sedar atau tidak sedar, dihadirkan dalam novel ini.
    Pun demikian, penggunaan bahasa Inggeris yang dalam situasi tertentu dimelayukan dari segi ejaannya, sedikit sebanyak menggambarkan perubahan pola sistem komunikasi masyarakat apabila berlakunya penyerapan elemen budaya asing dalam kehidupan setempat. Hal sedemikian mungkin tidak disedari oleh pengarangnya sebagai amalan yang mampu menjejaskan kemandirian bahasa ibunda. Lantaran itu, wujud persepsi bahawa terbit sedikit sikap prejudis atau berat sebelah dalam kalangan sebahagian ahli masyarakat, khususnya golongan elit seperti Pak Noraldin, terhadap seni budaya bergendang. Penyerapan budaya asing, iaitu Inggeris, dalam gaya hidup keluarga Pak Noraldin sebagai contoh, tidak mustahil sedikit sebanyak mempengaruhi pola atau cara pemikiran terhadap budaya tertentu yang dianggap kolot dan tidak mendatangkan faedah serta membuang masa. Biarpun dalam novel ini percanggahan dari segi ajaran agama dinukilkan sebagai salah satu sebab penolakan terhadap ‘gendang perempuan’, namun tidak dapat dinukilkan sedalam mana amalan agama yang diterapkan Pak Noraldin sendiri dalam kehidupan keluarganya.

Realisme, Separa Realisme atau Persepsi?
Bertitik tolak daripada apa-apa yang diperkatakan, persoalan primer yang ingin dirungkaikan adalah, sejauh manakah kebenaran yang diterapkan oleh Muhammad Rakawi dalam karyanya? Adakah keresahan serta kebimbangan yang terlontar dalam novel ini berupa gambaran realisme kehidupan, separa realisme atau persepsi semata-mata?
    Dengan berpandukan latar belakang beliau sebagai Pegawai Kastam dan guru silat, tidakkah wujud kemungkinan bahawa pengalaman yang dilalui sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemikiran beliau? Sebagai Pegawai Kastam, sudah pastinya Muhammad Rakawi terlatih untuk menguatkuasakan peraturan yang digariskan tanpa kompromi. Lebih-lebih lagi semasa berkhidmat di bawah sistem pentadbiran yang dikawal oleh pihak koloni. Begitu juga, sebagai guru silat, pastinya beliau tidak mahu melihat anak-anak didiknya sumbang dalam persembahan ‘bunga’ dan langkah persilatan mereka. Hal ini adalah perkara yang mungkin akan membawa padah dalam gelanggang persilatan. Mungkinkah hal yang sedemikian mempengaruhi corak pemikiran dan persepsi Muhammad Rakawi? Atau mungkinkah beliau terperangkap di persimpangan realisme, separa realisme dan persepsi?
    Realitinya, budaya dan seni budaya tidak mungkin membawa kepada unsur kebejatan sekiranya masyarakat sekeliling mematuhi norma-norma yang telah digariskan bagi memastikan kemurnian budaya berkenaan tetap utuh terpelihara di samping itu mengekal, melestarikan dan menyerlahkan nilai kebestarian tempatan yang sarat terselit dan tersirat dalamnya. Sikap dan perlakuan manusialah yang menjadi penentu segala-galanya. Tepuk dada, tanyalah hati.

 
 

     
    
      

Advertisement