
DNB masih menganalisis ketersediaan kerajaan negeri terutama dalam fasiliti infra telekomunikasi: Julaihi
"5G ini akan melalui pelaksanaan secara berperingkat dan bandar raya Kuching, Miri dan Bintulu merupakan bandar dalam fasa pertama 5G manakala bandar Sibu dalam fasa kedua."
Datuk Julaihi Narawi
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi
KUCHING: Sarawak dijangka akan melangkah ke rangkaian 5G tidak lama lagi, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Datuk Julaihi Narawi.
Untuk usaha itu katanya, kini Digital Network Berhad (DNB) masih dalam fasa menganalisis ketersediaan kerajaan negeri terutama dalam fasiliti infra telekomunikasi.
"Kini sebanyak 82 tapak telah dikenal pasti.
"5G ini akan melalui pelaksanaan secara berperingkat dan bandar raya Kuching, Miri dan Bintulu merupakan bandar dalam fasa pertama 5G manakala bandar Sibu dalam fasa kedua," katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu Julahi menghadiri sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan telekomunikasi yang dihadiri Timbalannya Datuk Liwan Lagang serta wakil-wakil agensi telekomunikasi berkaitan di Hotel Raia di sini, semalam.
Julaihi turut menyatakan bahawa selain inisiatif yang dijalankan oleh pihak kerajaan persekutuan, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan skim atau inisiatifnya sendiri.
Katanya ia bagi menyokong inisiatif kerajaan persekutuan agar fokus untuk membekalkan perkhidmatan telekomunikasi yang bermutu dapat dilaksanakan segera di seluruh Sarawak, misalnya inisiatif di bawah Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) adalah Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).
Sementara itu sesi yang diadakan itu merupakan yang kedua dan ia lebih intensif dalam memfokus kepada isu-isu berbangkit berkenaan dengan perkhidmatan talian telefon mudah alih serta jaringan Internet yang masih perlu ditambah baik di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.
Peluang program bersama itu juga membuka ruang kepada setiap agensi berkaitan telekomunikasi untuk membentangkan cabaran-cabaran utama yang dihadapi dalam membekalkan perkhidmatan talian telefon mudah alih serta jaringan Internet seperti proses izin lalu dan bentuk muka bumi yang sentiasa menjadi cabaran utama.
Program juga menjadi platform untuk setiap agensi yang terlibat berusaha menyelaraskan tujuan atau polisi sesama sendiri yang lebih memudahkan dalam membekalkan perkhidmatan talian telefon serta akses Internet.
Hadir sama wakil daripada TM Zalizan Hajemi, Oemangku Pengarah Bahagian Telekomunikasi MUT Chan Seng Yu, Pemangku Setiausaha Tetap MUT Syed Mohamad Fauzi, Pengarah Negeri Suruhanjya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Adiman Ajem dan Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA K.Prasad.