Anda di sini

Pertimbangkan moratorium kepada PKMS untuk memastikan sektor tersebut pulih

Advertisement
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob (kanan) bersama pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Ketua Pengarah Kesihatan (kiri) semasa salah sebuah mesyuarat MPN.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob (kanan) bersama pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Ketua Pengarah Kesihatan (kiri) semasa salah sebuah mesyuarat MPN.

Tatkala ramai yang berharap pasca pandemik COVID-19 akan memulihkan keadaan ekonomi dan sosial, namun situasi kini yang semakin meruncing telah meletakkan kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya usahawan dan peniaga kecil dalam keadaan tersebit dari segi kewangan.  

Dengan peningkatan kos operasi harian yang disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi secara mendadak pasca pandemik telah memudarkan harapan ramai rakyat untuk kembali hidup dengan selesa. 

Berdasarkan statistik sebelum pandemic COVID-19 melanda dunia, 90 peratus daripada isi rumah luar bandar tidak mempunyai simpanan langsung untuk masa kecemasan manakala 86 peratus isi rumah yang menetap di bandar juga mempunyai kosong simpanan. 

Pandemik ini juga telah meningkatkan golongan B40 dan B60 dengan kadar yang mendadak dan golongan M40 sebelum ini ramai yang telah jatuh miskin akibat ketiadaan wang saran harian yang mencukupi. 

Apa yang menyedihkan, kebanyakan M40 ini dahulunya mempunyai perniagaan kecil dan sederhana dan ada yang menggaji penduduk setempat terutamanya di kampung-kampung luar bandar kini berdepan dengan cabaran untuk meneruskan operasi harian. 

Antara mereka ialah Lim Jun Hui, 59 yang merupakan pemilik kedai kain baju dan peralatan sekolah di Tangkak Johor kini di ambang menutup perniagaannya kerana peningkatan kos operasi seperti sewa kedai, kekurangan kuasa beli pengguna dan peningkatan permintaan gaji pekerja. 

“Jika dahulu, ibu bapa akan membeli lebih dari empat set baju sekolah dan dua set kasut. Ada yang membeli dua kali setahun.  Baju uniform sekolah, seluar sukan, kasut, dan baju badan beruniform dan lain lain. Namun, harga dahulu tidaklah semahal sekarang. Kini, ibu bapa mahu membeli dua pasang pun berkira-kira kerana harga telah mencecah ratusan ringgit,” katanya. 

“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan kewangan kami buruk. Kedai terpaksa ditutup penuh, dan tiada transaksi pembelian langsung kerana pelajar tidak ke sekolah. Stok yang sedia ada juga ada yang sudah tidak boleh dipakai kerana baju putih bertukar kuning sebagai contoh dan sebagainya. Ini telah meletakkan kami dalam situasi yang amat sukar,” katanya. 

Perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit antara yang terkesan teruk akibat peningkatan harga barangan dan pengurangan kuasa pembeli.
Perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit antara yang terkesan teruk akibat peningkatan harga barangan dan pengurangan kuasa pembeli.

Selain itu, Pavitra A/P Sukumaran, 47 seorang peniaga kedai runcit di sebuah kampung di Kuala Kangsar, Perak berkata meskipun beliau menerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang bernilai RM3,000 secara “one-off”, pemberian itu mampu memberikan kelegaan kepada tahap kewangannya buat jangka pendek. 

Geran Khas Prihatin (GKP) akan diberikan kepada PKS Mikro yang berkelayakan dengan tujuan bagi meringankan beban kewangan perniagaan dihadapi ekoran COVID-19 serta meningkatkan produktiviti perkhidmatan demi kelangsungan perniagaan. 

Sejak dilancarkan, lebih 545,000 peniaga mikro di seluruh negara sudah menerima manfaat Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 secara one-off dengan peruntukan sebanyak RM1.63 bilion. 

“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah banyak membantu semasa pandemik dengan memberikan moratorium ke atas uruskan perbankan dan sebagainya. Namun, di saat peningkatan kos sara hidup dan ketidakmampuan kami untuk berdiri semula dengan teguh selepas pandemik, saya benar-benar berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian moratorium seterusnya tanpa faedah kepada kami yang benar-benar terkesan,” katanya. 

Pavitra berkata, sebelum pandemik, kedai runcitnya dapat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5,000 ke RM7,000 sebulan bergantung kepada pembelian di mana pada cuti sekolah, hasil jualan adalah lebih tinggi kerana ramai yang pulang ke kampung. 

“Namun kini, rata-rata mereka yang datang ke kedai juga semakin berkira-kira untuk berbelanja. Dahulu mereka tidak kisah membeli ayam, ikan, daging dan sebagainya serentak, namum kini mereka hanya membeli satu atau dua. Ini telah menyebabkan keuntungan saya semakin berkurang dan ada kalanya, kerugain selepas di tolak kos operasi,” katanya. 

Sementara itu, Siti Hawa Shamsuri, 35, dari Miri Sarawak yang merupakan pemilik sebuah kedai makan berkata meskipun sektor ekonomi telah dibuka dengan selamat dan teratur, namun rata-rata peniaga masih mempunyai masalah aliran wang tunai yang kritikal. 

“Kos untuk kami menjalankan perniagaan telah meningkat dengan ketara. Dariapda sewa kedai ke harga barang basah dan gaji pekerja semuanya telah meningkat dengan mendadak akibat inflasi. Lebih memburukkan keadaan, kenaikan faedah bank di saat inflasi naik mendadak telah menyebabkan hutang yang diterbitkan semasa pandemik untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan kehidupan juga turut naik. Ini telah meletakkan kami dalam posisi kewangan yang amat sukar. 

“Saya yakin, ramai yang akan dapat menarik nafas lega sekiranya cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya moratorium khas diberikan kepada pengusaha PMKS yang memerlukannya dapat dilaksanakan kerana saya yakin ramai yang tertekan untuk mengimbangi kewangan mereka dan pada masa yang sama meneruskan kehidupan seharian,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob telah berkongsi lima cadangan utama MPN kepada kerajaan terutamanya isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan, serta memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada PMKS.
 
Isu aliran tunai pengusaha PMKS sering kali dibincang di mesyuarat MPN kerana ianya mampu menjejaskan dan merencat proses pemulihan negara. 

Memandangkan sektor PKS dan PMKS merupakan antara yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19, Majlis Pemulihan Negara telah mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama penglibatan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada pengusaha PMKS.

Ini kerana sekiranya sektor PMKS tidak dapat dipulihkan dengan sepenuhnya, ia akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh kerana perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) merupakan tulang belakang kepada ekonomi tempatan, yang mempelopori 97.2 peratus daripada penubuhan perniagaan, sekali gus menyumbang kepada 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Dalam konteks pekerjaan, PMKS juga menyumbang kepada kira-kira 7.3 juta pekerjaan kepada penduduk negara.  

Tanpa pertumbuhan yang memberangsangkan dalam sektor PMKS, amat sukar untuk ekonomi negara pulih ke tahap yang baik, sekali gus menyebabkan penguncupan dalam pekerjaan yang melibatkan tenaga kerja tempatan. 
 

Advertisement