Anda di sini

PRU15: PN tanding 169 kerusi Parlimen, 116 DUN

Advertisement
Muhyiddin berucap pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Pilhan Raya Umum ke-15 PN di MITEC semalam. - Gambar Bernama
Muhyiddin berucap pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Pilhan Raya Umum ke-15 PN di MITEC semalam. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) semalam mengumumkan akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata daripada 169 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan itu, Bersatu akan bertanding di 74 kerusi, PAS (64), Gerakan (20) dan Bersekutu (11).

Bagi peringkat DUN yang melibatkan Pahang, Perlis dan Perak, beliau berkata PAS bertanding 57 kerusi, Bersatu (41), Gerakan (14) manakala Bersekutu (empat).

“Perkara ini telah kita putuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN dan akan umum bakal calon bertanding kecuali bagi Kelantan dan Terengganu akan umum pada satu tarikh lain sama ada esok atau lusa,” katanya pada majlis pengumuman calon PN pada PRU15 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, malam tadi.

Pada 20 Okt lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian PRU15, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal, 15 Nov ini.

Pada majlis pengumuman calon gabungan itu, Muhyiddin berkata beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.

Beliau juga mengumumkan beberapa barisan pemimpin utama yang akan bertanding antaranya Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempertahankan kerusi Parlimen Tambun manakala Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal bertanding di kerusi Parlimen Larut.

Ketua Penerangan PN merangkap Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kedua-duanya akan mempertahankan kerusi Parlimen yang disandang mereka iaitu masing-masing di Gombak dan Indera Mahkota.

Ketua Wanita PN yang juga Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula bertukar kerusi Parlimen dari Titiwangsa ke Sepang dalam pilihan raya kali ini.

Selain itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad bakal bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai dan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong di  Parlimen Bayan Baru, kata Muhyiddin.

“Ini kali pertama kita (PN) sertai pilihan raya umum, maka kita memperkenalkan tokoh-tokoh yang berkelayakan, berkelulusan, mesra rakyat serta prihatin terhadap isu dihadapi rakyat supaya mereka dapat pikul amanah dalam menguruskan nasib rakyat selepas PRU15 selesai,” katanya sambil menambah rundingan pemilihan calon berjalan dengan lancar.

Beliau, bagaimanapun, mengingatkan semua komponen gabungan itu untuk menerima baik keputusan pucuk pimpinan berhubung nama-nama calon yang telah diumumkan serta memohon kerjasama di setiap peringkat parti untuk terus membantu dalam memastikan kemenangan PN.

Menyentuh mengenai manifesto PN, Muhyiddin berkata gabungan itu akan melancarkan tawaran mereka pada Ahad ini.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon itu ialah calon DUN Cheka, Pahang iaitu Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Dalam majlis tersebut juga, kesemua calon dan barisan ahli jawatankuasa PN turut berikrar dan mengangkat sumpah aku janji yang diketuai Muhyiddin bagi menyatakan komitmen untuk membina sebuah kerajaan bebas rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRU15. - Bernama 

Advertisement