Anda di sini

Uggah hormati pendirian Wan Junaidi tidak bertanding pada PRU15

Advertisement
Wan Junaidi

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas menghormati pendirian penyandang kerusi Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Uggah berkata, sudah menjadi budaya dalam PBB apabila tiba masanya untuk mereka (pemimpin) berundur dan memberi laluan kepada muka baharu.

“Dalam PBB, kita sentiasa ada budaya apabila seseorang (pemimpin) merasakan sudah tiba masanya, maka kita akan memutuskan untuk berundur.

“Apa yang lebih penting ialah kita (PBB) harus memberi peluang kepada generasi muda mempersiapkan diri mereka menceburi dunia politik, jadi kita amat menghormati keputusan Datuk Seri Wan Junaidi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo (BOSH) Ke-7 di sebuah hotel di sini, semalam.

Pada Ahad, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu bahawa Wan Junaidi telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding semula pada PRU15 akan datang.

Bagaimanapun, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, beliau masih belum memutuskan sama ada mahu menerima keputusan ahli politik veteran itu atau sebaliknya.

Sementara itu, Wan Junaidi ketika dihubungi pada Isnin, berkata beliau mengesyorkan Setiausaha Politiknya Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie untuk menggantikan beliau sebagai calon GPS pada PRU15.

Ahli politik veteran berusia 77 tahun itu menyifatkan Syed Hamzah sebagai pilihan terbaik sekiranya Abang Johari tidak menamakan semula beliau pada PRU15.

"Saya telah melatih Syed Hamzah untuk menjadi seperti saya. Beliau telah bersama saya selama 18 tahun. Saya fikir beliau antara yang 'paling tidak bermasalah' (calon terbaik) dan saya telah berjanji untuk mengesyorkannya.

“Terdapat banyak petisyen agar saya meneruskan sebagai wakil rakyat tetapi apabila mereka mendengar berita kemungkinan besar saya akan berundur, kini mereka mahukan Syed Hamzah,” katanya.

Wan Junaidi merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Sarawak iaitu selama 32 tahun sejak 1990 bermula sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar.

Beliau kemudian bertukar kawasan dengan penyandang kerusi Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim ke Parlimen Santubong pada 2004.

Pada PRU14, Wan Junaidi menang dengan mendapat 26,379 undian ketika menentang Mohamad Fidzuan Zaidi daripada Pakatan Harapan yang mendapat 6,894 undi dengan majoriti undi sebanyak 19,485.

Advertisement