Anda di sini

Semua jentera GPS bersedia 'berperang' pada PRU15

Advertisement
Awang Tengah (dari kiri) dan Awangku Jinal pada perjumpaan bersama jentera GPS Parlimen Lawas.
Awang Tengah (dari kiri) dan Awangku Jinal pada perjumpaan bersama jentera GPS Parlimen Lawas.

LAWAS: Bertahan dan menyerang, itu tegas Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada semua jentera parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan 'berperang' pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, semua jentera tidak harus dalam keadaan bertahan tetapi mula bersama-sama menyerang dan bangkit berjuang habis-habisan dalam 'perang politik' untuk menambah jumlah kerusi Parlimen GPS.

Menurutnya, persiapan itu penting dalam memastikan suara rakyat Sarawak daripada 31 kerusi Parlimen dapat bergema di Dewan Rakyat dan menjadi kuasa penting dalam memastikan hak Sarawak dikembalikan sepenuhnya.

"Kita perlu memiliki segala fakta dan bukti-bukti jelas dalam menghadapi perang persepsi yang mula digunakan pihak lawan. 

“Gunakan kelebihan berhujah untuk setiap jentera di akar umbi. Kita jangan takut sebaliknya tegas memperjuang GPS melalui penerangan mengenai hala tuju perjuangan kita mengangkat martabat rakyat Sarawak keseluruhannya," kata beliau pada sesi perjumpaan dengan jentera GPS di Pusat Khidmat GPS Parlimen Lawas semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Datuk Pengiran Jawa dan semua ahli jawatankuasa induk PBB Cawangan Bukit Sari, Ba’Kelalan dan komponen GPS Lawas. 

Awang Tengah turut memuji persiapan rapi jentera GPS di Parlimen Lawas.

Beliau mahu segala maklumat dan isu-isu dikumpul digunakan sepenuhnya menjelang kempen PRU15 nanti.

"Kita guna seluruh kekuatan jentera untuk menyerang balik, membongkar pembohongan dan menjawab segala isu dimanipulasi oleh pembangkang," jelasnya.
 

Advertisement