Anda di sini

Kerajaan Sarawak akan perluas tajaan Yayasan Sarawak ke peringkat doktor pakar

Advertisement
Abang Johari berkongsi kegembiraan dengan graduan Ijazah Sarjana Muda Program Perubatan yang ditaja oleh Yayasan Sarawak selepas majis konvokesyen. - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari berkongsi kegembiraan dengan graduan Ijazah Sarjana Muda Program Perubatan yang ditaja oleh Yayasan Sarawak selepas majis konvokesyen. - Gambar Roystein Emmor

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak dijangka akan memperluaskan pembiayaan kepada graduan perubatan yang ditaja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi iaitu doktor pakar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kini Yayasan Sarawak bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengadakan kolaboratif strategik dalam membangunkan modal insan menerusi tajaan biasiswa kepada pelajar perubatan di universiti itu.

"Jika mereka ini telah berjaya (graduan), mereka juga boleh melanjutkan pelajaran dalam kursus pakar dan kami serta Yayasan Sarawak tentu sekali akan memberi pembiayaan kepada mereka yang mahu melanjutkan kursus lanjutan dalam bidang tertentu.

"Sekarang kita juga sedang berbincang untuk mewujudkan pusat kanser, maka kita amat memerlukan doktor yang boleh merawat pesakit kanser dan dengan mempunyai pakar cemerlang ini, Sarawak boleh menjadi hab perubatan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga rantau ini, justeru kita perlu mempunyai satu pusat seperti ini," ujarnya.

Beliau yang juga Pro Canselor UNIMAS berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan penyampaian skrol pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-26 di UNIMAS di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak akan menggunakan dananya sendiri untuk membina pusat kanser terbabit, sementara kerajaan persekutuan akan menyediakan peralatan khas, selain pegawai perubatan.

Mengulas lanjut mengenai kolaboratif antara Yayasan Sarawak dan UNIMAS, beliau berkata, bagi program sedia ada, Yayasan Sarawak menghantar pelajar mengikuti kursus perubatan yang ditaja dari segi biasiswa bagi mencapai sasaran melahirkan 200 graduan dalam masa lima tahun.

Ini kerana jelasnya, Sarawak mempunyai nisbah doktor kepada populasi (pesakit) yang masih rendah.

"Menerusi program ini, graduan kita boleh berkhidmat kepada negeri ini termasuk kawasan luar bandar. Selain itu, UNIMAS juga akan mempunyai hospital mereka sendiri yang pastinya memerlukan bilangan doktor.

"Buat masa ini, kita memang memerlukan doktor dengan pengambilan 50 orang pelajar setahun, namun jika permintaan berkenaan sudah melebihi (keperluan), kita mungkin mencari kursus atau bidang lain yang diperlukan negeri ini untuk program seperti ini," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada UNIMAS yang telah banyak melakukan kajian, agar menumpukan kepada tenaga baharu kerana Sarawak mempunyai kelebihan dari segi pengeluaran tenaga hijau.

Ia katanya, termasuk pengeluaran bahan api berasaskan lumut yang menjadi sumber kepada tenaga hijau kepada Sarawak satu hari ini.

"Kita mempunyai kapasiti dan boleh bekerjasama dengan agensi antarabangsa yang terlibat dalam kajian pengeluaran bahan api berasaskan lumut, iaitu Jepun," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kepakaran para penyelidik UNIMAS turut diperlukan dalam mengenal pasti potensi-potensi baharu yang dapat digunakan untuk memacu agenda pembangunan Sarawak maju menjelang tahun 2030.

Dalam hal itu katanya, diharapkan para penyelidik UNIMAS dapat memperbanyakkan penyelidikan dan inovasi yang memfokuskan kepada kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan komuniti inklusif yang terdapat di Sarawak.

Pada majlis itu, Abang Johari menyampaikan skrol kepada graduan pada sidang kedua konvokesyen yang melibatkan istiadat pengurniaan kepada 574 graduan merangkumi 362 graduan dari Fakulti Seni Gunaan & Kreatif (FSGK) dan 212 graduan dari Fakulti Perubatan Sains dan Kesihatan (FPSK).

Konvokesyen itu juga akan meraikan 35 graduan kohort pertama Ijazah Sarjana Muda Program Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang mendapat tajaan biasiswa penuh daripada kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak.

Advertisement