Anda di sini

Aspirasi masih belum memuktamadkan calon bertanding PRU15

Advertisement
Soo
Soo

KUCHING: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) masih belum memuktamadkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun hari penamaan calon berbaki empat hari lagi.

Presidennya Lina Soo berkata ketika ini parti itu masih mempertimbangkan calon-calon yang akan bertanding pada PRU15.

"Parti kami masih mempertimbangkan (calon-calon parti yang akan bertanding pada PRU15). Kami akan umumkan pada masa yang sesuai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Soo juga memaklumkan Aspirasi masih belum mencapai kata putus berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRU kali ini.

Pada 22 Ogos 2022, Soo pada satu sidang media memaklumkan bahawa Aspirasi akan bertanding di empat kerusi iaitu Bandar Kuching, Serian, Puncak Borneo dan Mas Gading.

Soo memberitahu tiga daripada kerusi Parlimen yang diintai iaitu Serian, Puncak Borneo dan Mas Gading merupakan kerusi luar bandar serta kerusi majoriti Bidayuh.

“Kami telah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk keempat-empat kerusi ini, namun ia belum dapat diumumkan kerana kami masih melakukan kajian di peringkat akar umbi,” katanya.

Pada 21 September 2022, Soo menerusi satu kenyataan pula memaklumkan bahawa Aspirasi akan bertanding di Stampin bagaimanapun tidak menyatakan siapa bakal diletakkan di situ mewakili parti.

Antara nama yang hangat diperkatakan ketika ini ialah George Young Si Ricord Junior, pengerusi Aspirasi sebagai calon di Puncak Borneo.

Advertisement